Sinar Karangkraf terima Anugerah Majikan Pesona Lindung PERKESO

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sinar Karangkraf Sdn Bhd menjadi antara penerima Anugerah Majikan Pesona Lindung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kerana kekal konsisten mendahulukan kebajikan pekerja sejak 1980-an.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso, Roshaimi Mat Rosely dan Ketua Cawangan Penjenamaan, Perhubungan Media dan Editorial PERKESO, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin pada Majlis Gala: Pelancaran Penjenamaan Lindung di ibu negara pada Jumaat.
Roshaimi berkata, syarikat penerbitan itu berani memberi ruang kepada semua suara termasuk yang pernah dipinggirkan sehingga menjadi nadi perubahan dalam dunia kewartawanan.
"Di bawah kepimpinan Pengasas Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub, Sinar Karangkraf tidak pernah berhenti berkembang.
"Kini, Sinar Harian yang dekat di hati rakyat berkembang sebagai kuasa digital berpengaruh menerusi portal serta program bual bicara yang meraih jutaan tontonan," katanya ketika mengumumkan nama penerima anugerah itu.

Pada masa sama, beliau menambah, amal tidak pernah putus dari gerakan kebajikan Ramadan hingga berbuka puasa di Madinah, sekali gus terus menyentuh jiwa masyarakat dengan nilai kasih dan kepedulian.
Terdahulu, Pengarah Eksekutif (Korporat, Kewangan & Pengurusan Risiko) Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi menerima anugerah terbabit yang disampaikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Anugerah tersebut merupakan sebahagian daripada pengiktirafan PERKESO kepada lapan majikan yang mengutamakan perlindungan sosial tenaga kerja.
Turut menerima pengiktirafan Simply SS Trading, iaitu syarikat usahasama biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa serta NH Prima International yang diasaskan Neelofa bersama keluarga.
Antara penerima lain termasuk Christy Ng Sdn Bhd, Wawa Cosmetics, Skop Productions Sdn Bhd, Media Prima Berhad dan Primeworks Studios serta D’Herbs International.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

