Tiada kompromi peniaga yang ingkar: Exco Johor

Ayub Jamil
Ayub Jamil
A
A
A

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan peniaga yang berdegil apabila membenarkan pelanggan makan di kedai atau restoran mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil berkata, mereka yang ingkar dengan arahan penutupan premis yang hanya membenarkan pelanggan membungkus makanan atau penghantaran akan diambil tindakan.

"Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diminta mengeluarkan notis pemberitahuan segera berhubung arahan penutupan berkenaan.

"PBT perlu memberi nasihat sebelum tindakan penguatkuasaan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, penting pada masa ini semua pihak memberikan kerjasama dan mematuhi segala arahan dikeluarkan pihak kerajaan dalam usaha menangani ancaman dan penyebaran wabak Covid-19.

Pihak kerajaan jelasnya, memahami kesulitan dan kesukaran yang dihadapi semua permis perniagaan dan peniaga yang terlibat.

Menurut Ayub, kerajaan negeri akan meneliti semua kesesuaiannya untuk membantu peniaga kecil yang terjejas.

"Di peringkat awal semua PBT dikehendaki memberikan maklumat berkaitan peniaga kecil dan penjaja berlesen seperti pasar pagi, pasar malam, pasar tani dan seumpamanya di kawasan PBT kepada kerajaan negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tujuannya kata beliau, bagi membolehkan kerajaan negeri meneliti dan mengkaji sekali gus membolehkan kerajaan negeri menimbang bentuk bantuan dan sokongan kepada mereka yang terjejas semasa penutupan di bawah perintah larangan pergerakan.

Beliau pada masa sama mengucapkan penghargaan kepada semua pemilik premis perniagaan, peniaga kecil dan penjaja kecil yang memberikan kerjasama menutup operasi perniagaan dan perkhidmatan saperti ditetapkan dari 18 Mac hingga 31 Mac ini.