Jururawat maut motosikal terbabas dalam perjalanan ke Himpunan RXZ

HULU TERENGGANU – Seorang jururawat maut selepas motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditungganginya terbabas di Kilometer 394, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Kuala Terengganu pada Jumaat.
Mangsa, Roslinawati Ramli, 33, yang beralamat di Felda Tementi, Pahang dilaporkan dalam perjalanan dari Simpang Renggam, Johor untuk menyertai program himpunan RXZ Members 7.0 bersama 12 lagi penunggang motosikal lain.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa menunggang motosikal di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa bergerak dari rumah sekitar jam 1 pagi menuju ke Kuala Terengganu. Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurutnya, motosikal digunakan mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan selain beberapa kerosakan lain.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
