Jangan cemari RXZ Members 7.0 dengan aksi berbahaya - Polis

KUALA LUMPUR - Polis mengingatkan pengunjung dan peserta RXZ Members 7.0 untuk tidak mempamerkan aksi yang membahayakan diri serta pengguna lain di sepanjang jalan raya.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya mengalukan penganjuran program ini sebagai tanda sokongan arena permotoran negara.
Katanya, pihak polis akan membantu dan memudahkan sepanjang proses penganjuran program terbabit.
"Namun, pada masa sama kami beri peringatan kepada peserta dan orang ramai yang hadir agar mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
"Mereka yang tunggang motosikal diingatkan agar tidak mempamerkan aksi berbahaya kepada diri atau pengguna jalan raya lain di sepanjang jalan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, Mohd Yusri turut menyarankan agar pengunjung memeriahkan program ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan.
Pada Isnin Sinar Harian melaporkan, Kerajaan Madani mengiktiraf peranan komuniti permotoran sebagai penyumbang kepada semangat kebersamaan dan pengukuh silaturahim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan turut melihat usaha berkenaan sebagai penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi setempat melalui penganjuran pelbagai aktiviti berimpak tinggi.
Kerajaan Madani juga akan menyalurkan peruntukan awal RM100,000 kepada peserta sebagai tanda komitmen dalam menjayakan program berkenaan.
RXZ Members 7.0 berlangsung pada 22 dan 23 Ogos ini di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
