Kes bunuh pelajar kolej di rumah: Siasatan belum menjurus jenayah seksual

Wan Azlan
Wan Azlan
A
A
A

SUBANG JAYA - Siasatan polis berhubung kes kematian seorang pelajar kolej yang ditemui tergantung pada kipas di ruang tamu rumahnya di USJ 2/1 di sini pada 14 Ogos lalu, belum menjurus kepada dakwaan perlakuan jenayah seksual.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis telah merekod keterangan 30 individu termasuklah ahli keluarga, jiran dan rakan mangsa.

Menurutnya, polis kini dalam tindakan untuk merakam keterangan kira-kira lima individu lagi bagi membantu siasatan.

"Ada keterangan yang perlu kita ambil semula. Kes ini perlukan sedikit masa untuk diselesaikan dan buat masa ini siasatan tidak menjurus lagi ke arah perlakuan seksual," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Jumaat.

Tambah Wan Azlan, polis telah melaksanakan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar rumah mangsa.

Namun jelasnya, ia masih dalam proses penelitian untuk polis mendapatkan maklumat lanjut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penemuan mayat mangsa diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya menerima panggilan pada jam 11.55 pagi memaklumkan seorang wanita berusia lingkungan 20-an ditemui tergantung pada kipas di rumahnya.

Bedah siasat oleh pakar patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa adalah pendarahan di sekeliling tulang hyoid (hyoid bone), selain kecederaan pada otot dan tulang akibat ‘manual strangulation’ (cekik).

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!