Tumpu kempen akar umbi PRU16, Rafizi sedia undur dari Kabinet

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bersedia melepaskan jawatan dalam Kabinet bagi memberi tumpuan kepada kempen akar umbi dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
Beliau berkata, hasrat tersebut telah disuarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurutnya, beliau juga bersedia untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025–2028.
"Sepanjang saya bercuti, saya juga mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar dan Saifuddin Nasution. Perbincangan dengan Anwar berlaku dua kali dan sekali dengan Saifuddin. Dalam pertemuan dengan Anwar, saya mengutarakan pandangan bahawa strategi kempen ke arah PRU16 perlu diperkemaskan mengambil kira keadaan semasa rakyat.
"Saya menyatakan bahawa saya bersedia untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden dan tidak menyertai Kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Rafizi, tindakan itu ekoran kebimbangan beliau berkisar kepada keadaan semasa yang menyaksikan kempen kerajaan terlalu bersifat bertahan dan tidak menyerang seperti rentak parti itu semasa menjadi pembangkang.
"Itu kekuatan yang saya ada sebagai seorang ahli politik dan wajar disesuaikan dengan keperluan kempen dalam tempoh berbaki dua tahun sebelum PRU16.
"Kedudukan saya sebagai seorang menteri menyebabkan saya terikat dengan konsensus pentadbiran kerajaan dan menyukarkan saya bersuara dengan lebih bebas seperti sebelum ini. Ia menyumbang sedikit sebanyak kepada keadaan kempen parti yang dilihat tidak agresif," katanya.
Ujarnya lagi, beliau turut menyuarakan perkara yang sama kepada Saifuddin dan menyatakan kesediaan untuk memberi laluan agar beliau boleh kembali berkempen secara bebas dan agresif ke arah PRU16 tanpa perlu terikat kepada peraturan Kabinet dan kerajaan.
"Kedua-dua mereka memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal bertanding jawatan Timbalan Presiden dan menjadi sebahagian daripada Kabinet.
"Saya nyatakan bahawa saya akan mengambil kira semua pandangan dalam membuat keputusan akhir," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

