Israel gempur Bandar Gaza

TEL AVIV - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sekali lagi tidak menghiraukan desakan komuniti antarabangsa selepas ia mengumumkan langkah pertama untuk 'menakluk' Bandar Gaza yang menjadi tempat berlindung kira-kira sejuta penduduk Palestin.
"Fasa awal operasi Gideon's Chariots 2 itu sudah bermula. Tentera kami sudah mara ke pinggir Bandar Gaza," ujar jurucakap IDF, Brigadier Jeneral, Effie Defrin yang turut memperlekehkan kekuatan pejuang Hamas.
Difahamkan, kira-kira 60,000 askar simpanan akan turut dipanggil bermula awal September untuk menyertai kempen pencerobohan itu.
Hamas menerusi kenyataan di Telegram mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu cuba menggagalkan perjanjian gencatan senjata yang masih dalam perbincangan dengan meneruskan perang lebih ganas ke atas orang awam di tengah wilayah tersebut.
Ribuan penduduk Palestin dilaporkan telah meninggalkan Bandar Gaza sejak beberapa hari lalu kerana bimbang dengan ancaman Zionis yang mahu menggempur kawasan tersebut.
Pada awal bulan lalu, Kabinet Keselamatan Israel yang dipengerusikan Netanyahu meluluskan rancangan jahat untuk memperluaskan operasi ketenteraan di Bandar Gaza di mana perang bandar ganas pernah tercetus bersama Hamas pada fasa awal konflik tersebut.
Kebanyakan sekutu rapat Tel Aviv mendesak kerajaan 'ekstremis' itu supaya mempertimbangkan langkah tersebut, namun Netanyahu lebih 'tunduk' terhadap gesaan anggota haluan kanan di bawah kerajaan gabungan pimpinannya supaya menolak gencatan senjata sementara dan meneruskan peperangan untuk 'menakluk' Gaza.
Sejak akhir minggu lalu, Qatar dan Mesir selaku negara perantara berusaha mencapai perjanjian damai dengan mencadangkan tempoh bertenang selama 60 hari serta pembebasan sebahagian daripada tawanan di wilayah tersebut.
Sehingga kini, Tel Aviv masih belum memberikan respons rasmi walaupun Hamas telah memberi lampu hijau terhadap cadangan tersebut. - Agensi
Info: Israel menguasai kira-kira 75 peratus kawasan di Genting Gaza sejak perang genosid tercetus lebih 22 bulan lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

