Pengarah syarikat didenda RM10,000 kemuka penyata bank palsu


KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis kerana mengemukakan penyata bank palsu kepada sebuah agensi kerajaan bagi permohonan lesen kenderaan perdagangan.
Loh Jui Chew, 38, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Semasa menjatuhi hukuman, hakim menasihati tertuduh supaya insaf dan tidak melakukan jenayah pada masa depan.
Mengikut pertuduhan, Jui Chew didakwa menggunakan penyata bank palsu di Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di sini pada 15 September 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang merupakan pemilik sebuah syarikat telah menjalankan perniagaan perkhidmatan pengurusan berkaitan dengan APAD, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
Pada 10 Ogos 2022, seorang lelaki telah berjumpa tertuduh di pejabatnya di Melaka bagi memaklumkan hasratnya untuk memohon lesen kenderaan perdagangan.
Pada peringkat permohonan surat tawaran kelulusan lesen kenderaan perdagangan, antara dokumen yang perlu dikemukakan ialah dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia, salinan penyata bank tiga bulan terkini, surat tapak parkir kenderaan dan surat kontrak kerja.
Sekitar Ogos hingga September 2022, tertuduh telah memalsukan penyata akaun bank milik mangsa sebelum dokumen permohonan itu termasuk penyata akaun bank tersebut diserahkan kepada pegawai kaunter semakan APAD Wilayah Tengah.
Hasil semakan mendapati semua dokumen itu telah lengkap dan menepati syarat-syarat permohonan.
Pada 21 September 2022, Jawatankuasa Perlesenan APAD telah meluluskan permohonan surat tawaran lesen kenderaan perdagangan yang dipohon tertuduh tanpa menyedari telah diperdaya dengan permohonan tersebut.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Elyza Amira Habeeb Rahman mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran.
“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira tertuduh telah memperdaya sebuah agensi kerajaan dengan menggunakan dokumen palsu untuk faedahnya,” kata Elyza Amira.
Bagaimanapun, peguam, Alvin Tan Keng Yi yang mewakili Jui Chew merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

