Peluang peroleh ganjaran sehingga RM10,000



SHAH ALAM – Bayangkan anda membeli rumah bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kemudian memperkenalkan pula rakan atau jiran untuk turut memiliki rumah idaman yang dibina PKNS, akhirnya anda sendiri menerima wang tunai sehingga RM10,000.
Itulah tawaran menarik yang diperkenalkan PKNS menerusi kempen terbaru Introducer Cash Rewards yang bermula 1 Ogos lalu sehingga 31 Disember 2025.
Kempen itu memberi penghargaan kepada pembeli rumah sedia ada yang bersedia untuk menjadi ‘duta kecil’ PKNS dengan membawa rakan, jiran mahupun ahli keluarga untuk membeli rumah baharu.
Sebagai balasan, PKNS akan memberikan insentif tunai bergantung kepada nilai rumah yang berjaya dijual.
Pengurus Kanan Jualan PKNS, Ishak Hashim berkata, kempen itu dilaksanakan bukan sahaja untuk meningkatkan jualan hartanah, tetapi juga untuk membina jaringan komuniti pembeli yang lebih rapat dan positif.
“Objektif utama kempen ini adalah untuk menghargai pelanggan setia PKNS.
“Setiap kali mereka memperkenalkan bakal pembeli baharu yang akhirnya menandatangani perjanjian jual beli (SPA), mereka akan menerima ganjaran tunai antara RM1,000 hingga RM10,000,” katanya ketika ditemui di SA Sentral Galleria, Seksyen 14, Shah Alam.
Menariknya, kempen itu terbuka kepada semua pembeli rumah PKNS, tidak kira sama ada mereka baru menandatangani SPA tahun ini atau membeli rumah sejak 10, 15 malah 20 tahun lalu.
Syaratnya mudah, mereka mestilah pemilik sah rumah PKNS.
Bakal pembeli pula perlu membuat tempahan dan menandatangani SPA dalam tempoh kempen. Sekiranya rujukan dibuat selepas tempahan, ia tidak akan diterima.
Lebih menarik, tiada had jumlah pembeli baharu yang boleh diperkenalkan.
“Kalau pembeli membawa lima rakan, maka mereka akan menerima ganjaran untuk lima transaksi berbeza.
“Cuma setiap rumah ada kategorinya tersendiri, contohnya, rumah bernilai RM500,000 ke bawah layak untuk ganjaran RM1,000. Ganjaran tidak boleh dicampur, tetapi boleh dikumpul mengikut bilangan rumah,” jelas Ishak.
Segala ganjaran akan dikreditkan terus ke akaun peserta selepas kenalan mereka selesai menandatangani SPA.
Sasar lebih 100 unit rumah
PKNS mensasarkan sekurang-kurangnya 30 unit rumah berjaya dijual di setiap perbandarannya seperti Antara Gapi, Kota Puteri, Cyber Valley dan Shah Alam, dengan jumlah keseluruhan lebih 100 unit sepanjang tempoh kempen.
“Kita melihat kawasan seperti Antara Gapi dan Kota Puteri sudah matang dan mempunyai komuniti yang rapat. Hubungan erat ini boleh dimanfaatkan untuk memperkenalkan lebih ramai pembeli baharu.
"Apabila kawan-kawan atau jiran membeli rumah di kawasan sama, mereka boleh tinggal berdekatan dan membentuk komuniti yang lebih kuat,” ujarnya.
Ishak menegaskan, kempen itu bukan mengejar angka jualan, tetapi juga memberi kesan positif kepada komuniti dan ekonomi setempat.
“Setiap kali unit rumah berjaya dijual, ia bukan sahaja meningkatkan perolehan PKNS tetapi juga membawa pertumbuhan ekonomi secara meluas.
"Komuniti setempat boleh terlibat dalam pelbagai aktiviti, termasuk perniagaan yang menyokong projek pembangunan. Hubungan dua hala antara PKNS dan penduduk juga semakin erat,” ujarnya.
Beliau menambah, pendekatan seperti ini telah berjaya dijalankan di beberapa kawasan perbandaran PKNS, di mana komuniti bukan sahaja menjadi pembeli tetapi juga rakan strategik dalam program dan aktiiti yang diadakan dikawasan tempat tinggal mereka.
Secara ringkas, kempen Introducer Cash Rewards ini adalah peluang berganda, pembeli sedia ada dapat berkongsi pengalaman memiliki rumah PKNS, rakan atau jiran mendapat rumah idaman, manakala PKNS sendiri berjaya menambah bilangan pelanggan baharu.
PKNS optimis kempen itu mampu merancakkan lagi pasaran hartanah di Selangor, selain mengukuhkan hubungan dengan komuniti setempat yang sentiasa menjadi nadi kepada pembangunan bandar-bandar baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
