Wajarkah pembuli diberi pendidikan semula?

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) tidak menolak mana-mana pelajar yang mempunyai masalah disiplin termasuk mereka yang dipindahkan dari institusi lain seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sebaliknya akan mengambil tanggungjawab penuh dalam usaha mendidik serta membentuk semula karakter mereka.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tugas mendidik merupakan mandat utama kementerian dan setiap pelajar tanpa mengira latar belakang atau sejarah perlakuan tetap berhak mendapat peluang kedua dalam sistem pendidikan negara.
Katanya, tugas mendidik sememangnya berada di bawah tanggungjawab KPM dan individu bermasalah yang dihantar ke sekolah perlu diterima kerana ia merupakan tanggungjawab dan komitmen.
Perkara ini mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat yang mempunyai pandangan dan hujah tersendiri.
[SOKONG]
Beri ruang bimbing, bentuk nilai diri
Pendidikan semula bukan bermaksud menghalalkan perbuatan buli sebaliknya memberi ruang untuk membimbing, membetulkan dan membentuk semula nilai serta empati dalam diri individu yang tersasar.
Ramai pelaku buli sebenarnya adalah remaja yang terabai, mengalami tekanan emosi atau pernah menjadi mangsa buli.
Mereka bukan dilahirkan sebagai pembuli tetapi dibentuk oleh persekitaran yang negatif, kekurangan didikan emosi dan perhatian.
Jika dibiarkan, mereka berisiko untuk mengulangi perbuatan sama, malah mungkin lebih teruk apabila meningkat dewasa kelak.
Dengan pendidikan semula, pelaku buli diberikan peluang untuk memahami kesan perbuatan mereka terhadap mangsa.
Melalui modul pengurusan emosi, aktiviti empati, bimbingan akhlak dan kerja komuniti, mereka boleh diajar menilai semula tindakan dan mengubah cara berfikir.
Ini bukan sekadar menyekat salah laku tetapi membentuk semula identiti dan nilai moral dalam diri mereka.
Selain itu, pendidikan semula turut memberi peluang kepada pelaku untuk memperbetulkan kesilapan secara bertanggungjawab tanpa terus dihukum dengan pengasingan sosial atau dibuang sekolah.
- Penolong Pegawai Pentadbiran Pusat Data, Ahmad Darwis Mahmod, 36
Peluang kedua berorientasikan masa depan
Memberi peluang kedua melalui pendidikan semula kepada individu yang terlibat dalam perbuatan buli adalah pendekatan yang bukan sahaja wajar, tetapi juga berperikemanusiaan dan berorientasikan masa depan.
Hakikatnya, ramai pelaku buli adalah remaja yang masih mencari identiti diri.
Ada yang membuli kerana tekanan rakan sebaya, dendam peribadi, kurang didikan emosi atau latar belakang keluarga yang bermasalah.
Mereka bertindak agresif bukan kerana jahat semula jadi, tetapi kerana tidak tahu bagaimana mengurus emosi dan konflik dengan cara yang sihat.
Pendidikan semula selari dengan prinsip keadilan, di mana tumpuan bukan hanya kepada hukuman tetapi pemulihan hubungan, kesedaran diri dan pencegahan ulangan kesalahan.
Pelaku bukan sahaja dibantu untuk faham kesan perbuatan mereka terhadap mangsa, tetapi juga diberi peluang untuk berubah dan kembali menyumbang secara positif kepada komuniti.
Lebih penting, pendekatan ini memberi harapan bahawa kesilapan pada usia muda bukan pengakhiran hidup.
Pelajar yang pernah membuli masih boleh dibimbing menjadi insan berakhlak jika diberikan ruang dan kepercayaan.
Dengan bimbingan yang betul, mereka juga mampu menjadi individu yang menyesali kesilapan dan membantu mencegah buli daripada berulang.
Dalam usaha membina masyarakat penyayang dan beradab, kita tidak boleh hanya menghukum tetapi juga perlu memulihkan, justeru berilah peluang kedua melalui pendidikan semula.
- Pekerja swasta, Aslinda Lawang, 33
[BANGKANG]
Pembuli akan berasa 'kebal'
Saya berpendapat tidak wajar memberikan pendidikan semula secara mudah kepada pembuli khususnya yang terlibat dalam kes berat.
Ini kerana tindakan mereka selalunya disengajakan, berulang kali dilakukan dan memberi kesan buruk kepada mangsa yang mungkin hilang keyakinan diri seumur hidup.
Memberikan peluang kedua tanpa hukuman tegas boleh menghantar mesej salah iaitu perbuatan buli boleh ditebus dengan hanya melalui proses pemulihan.
Lebih membimbangkan, pendekatan ini boleh menyebabkan pembuli berasa ‘kebal’ terutama jika mereka tahu akibat perbuatan mereka hanya sekadar diberi bimbingan semula tanpa tindakan tegas.
Ini bukan sahaja membuka ruang kepada pengulangan kes, malah boleh menyebabkan mangsa hilang kepercayaan terhadap sistem keadilan sekolah dan institusi pendidikan.
Tambahan pula, dalam banyak kes, pembuli merupakan pelajar yang mempunyai pengaruh sosial yang tinggi, popular, dominan atau bergelar ketua kumpulan.
Mereka sedar akan tindakan mereka, malah ada yang sengaja membuli sebagai bentuk kuasa atau kawalan.
Dalam kes seperti ini, pendidikan semula mungkin tidak cukup berkesan untuk membentuk kesedaran mendalam, apatah lagi jika pelaku tidak menunjukkan rasa kesal atau keinginan untuk berubah.
- Juruteknik, Mohamad Taufik Din, 32
Ibarat normalisasi perbuatan buli
Tindakan memberi peluang kedua tanpa sebarang bentuk hukuman boleh mengundang persepsi bahawa buli bukan kesalahan serius.
Lebih membimbangkan, ia seolah-olah menormalisasi perbuatan menindas rakan sebaya dengan harapan akan diberi ruang untuk ‘diperbaiki’ kemudian hari.
Akibatnya, mangsa terus menjadi pihak yang rugi, bukan sahaja dari sudut emosi dan psikologi malah dari aspek kepercayaan terhadap pihak sekolah dan sistem keadilan.
Sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak belajar dan membesar.
Jika pelaku buli terus berada dalam sistem tanpa pengasingan atau tindakan sewajarnya, keselamatan dan kesejahteraan pelajar lain akan terjejas.
Tidak wajar jika pembelaan terhadap pelaku mengatasi perlindungan yang wajar untuk mangsa.
Pendidikan semula mungkin relevan dalam kes-kes tertentu yang disusuli penyesalan jelas.
Bagaimanapun untuk kes berulang, serius atau melibatkan penderaan fizikal dan mental yang nyata, tindakan tegas dan konsisten adalah lebih berkesan dalam memberi mesej bahawa buli tiada tempat dalam masyarakat.
Apabila pembuli diberikan pendidikan semula, sistem secara tidak langsung memberi maksud perbuatan buli masih boleh dikompromi. Ini berbahaya.
Ia bukan sahaja memperlekehkan penderitaan mangsa, malah boleh mendorong lebih ramai pelaku berpotensi untuk melakukan tindakan yang sama kerana mereka tahu bahawa akibatnya tidak berat.
- Kakitangan awam, Nur Hidayah Zakaria, 40
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

