Sokong penjawat awam muda pegang jawatan penting

CADANGAN agar penjawat awam muda diberi ruang memegang jawatan penting dalam jabatan dan agensi kerajaan menandakan satu anjakan berani menambah baik landskap pentadbiran negara.
Ketika dunia bergerak pantas dengan tuntutan dasar yang semakin kompleks, Malaysia memerlukan tenaga kerja yang tangkas, berwawasan dan bersedia membawa pendekatan segar.
Langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneliti syor ini menunjukkan kesediaan kerajaan untuk menyemak semula struktur lama yang terlalu bergantung kepada giliran dan tempoh perkhidmatan.
Generasi muda dalam sektor awam pada masa sekarang mempunyai kelulusan tinggi, pengalaman pelbagai dan keupayaan teknologi yang mengagumkan.
Ramai telah membuktikan kecekapan dalam pengurusan dasar, komuikasi awam dan penyelesaian masalah yang kompleks.
Dalam era pentadbiran MADANI, keperluan terhadap pemimpin yang memahami realiti semasa semakin mendesak. Pegawai muda memiliki kelebihan dari segi kefahaman terhadap isu generasi digital, kecekapan analitik dan keupayaan menjalin hubungan dengan masyarakat secara lebih inklusif.
Potensi ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya dengan memberi ruang kepada mereka untuk menggalas jawatan penting dalam membuat keputusan besar. Sistem kenaikan pangkat yang terlalu mengikut senioriti sering menyebabkan bakat muda terpinggir. Ramai yang memilih untuk beralih ke sektor swasta atau mencari peluang di luar negara apabila berasa tiada ruang untuk berkembang.
Malaysia perlu mengekalkan bakat terbaik dalam perkhidmatan awam dengan menyediakan laluan kepimpinan lebih fleksibel dan berasaskan prestasi. Sudah tiba masanya merit, integriti dan daya kepimpinan dijadikan ukuran utama.
Pegawai yang menunjukkan prestasi cemerlang dan kebolehan strategik perlu diberi kepercayaan untuk memimpin, tanpa menunggu giliran yang panjang. Ini akan mewujudkan ekosistem pentadbiran lebih dinamik, seimbang dan berdaya saing.
JPA disaran mempercepatkan kajian dan menetapkan mekanisme pelaksanaan jelas. Langkah ini mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap keupayaan pentadbiran negara dan memberi isyarat bahawa Malaysia bersedia melangkah ke hadapan dengan tenaga baharu lebih segar dan progresif.
Generasi muda dalam perkhidmatan awam bukan sekadar pelapis tetapi mereka ialah pemimpin masa depan yang mampu membawa perubahan bermakna kepada negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
