Sokongan PM penghargaan bermakna buat komuniti permotoran - RXZ Members

SHAH ALAM - Kumpulan RXZ Members menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi sokongan terhadap penganjuran program RXZ Members 7.0 yang akan berlangsung pada 23 Ogos depan.
RXZ Members menerusi hantaran di Facebook berkata, sokongan yang diberikan itu merupakan satu penghargaan bermakna buat komuniti RXZ Members dan warga permotoran di seluruh negara.
“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri kerana titipkan ucapan dengan menyokong penuh penganjuran RXZ Members 7.0 2025 pada kali ini.
“Alhamdulillah, terima kasih Perdana Menteri dan Kerajaan Madani menghargai kami komuniti RXZ Members serta juga warga permotoran lain di Malaysia secara amnya. Inilah ada satu penghargaan yang besar untuk kami,” katanya pada Isnin.
Sebelum ini, Anwar pada Isnin berkata, Kerajaan Madani mengiktiraf peranan komuniti permotoran sebagai penyumbang kepada semangat kebersamaan dan pengukuh silaturahim.
Menurut beliau, kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan awal RM100,000 kepada peserta program sebagai tanda komitmen dalam menjayakan program berkenaan, manakala perbincangan lanjut bersama penganjur akan diadakan minggu hadapan.
Ujar RXZ Members, program yang akan diadakan di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu itu juga diharap berjalan dengan lancar.
“Insya-ALLAH, kita semua doa semoga program ini dipermudahkan, dilancarkan urusan dan juga semua penunggang yang hadir selamat sampai di RXZ Members 7.0 2025,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

