Marconah, lembu hibrid kelahiran Kelantan julung kali dipamer di Pantai Irama

Mohd Saripudin (kanan) mengiringi Mohd Nassuruddin (dua dari kiri) melihat Marconah yang dipamerkan di Pantai Irama, Bachok. Foto SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Saripudin (kanan) mengiringi Mohd Nassuruddin (dua dari kiri) melihat Marconah yang dipamerkan di Pantai Irama, Bachok. Foto SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

BACHOK - Lembu betina baka hibrid pertama hasil Projek Pelestarian Lembu Naimbif di bawah Kerajaan Negeri Kelantan, Marconah ‘binti’ Marco, buat julung kalinya dipamerkan kepada umum sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPNK) 2025 di Pantai Irama di sini pada Rabu.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kejayaan menghasilkan lembu baka charolais versi Kelantan yang kini berusia setahun tujuh bulan itu membuktikan kemampuan negeri ini dalam melaksanakan penyelidikan dan pembiakbakaan baka berkualiti.

“Marconah, anak kepada Marco, dilahirkan awal tahun lepas hasil permanian beradas menggunakan baka jantan dan betina charolais.

“Pencapaian ini amat penting sebagai persediaan negeri untuk menghasilkan sumber baka lembu hibrid tempatan yang lebih lasak, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada baka import pada masa depan,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Perasmian HPPNK 2025 di Pantai Irama di sini pada Rabu.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Tuan Mohd Saripudin berkata, Marconah menjadi simbol kejayaan awal Projek Pelestarian Lembu Naimbif yang digerakkan oleh Kelantan Biotech dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) dan Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan (IBVK).

Sementara itu, pemilik Marconah, Mohd Zaimi Abdullah, 59, berkata lembu berkenaan kini mencecah berat kira-kira 180 kilogram (kg) berbanding hanya 30 kg ketika dilahirkan.

“Baka charolais kebiasaannya tidak tahan cuaca panas, tetapi Marconah ini berbeza kerana lebih lasak, tahan panas, tidak memilih makanan dan lebih tahan jangkitan kutu. Itu kelebihan baka hibrid yang dihasilkan melalui projek ini.

“Kalau ikut jangkaan, apabila berusia tiga tahun beratnya mampu mencecah 300 kilogram dan bersedia menjadi induk bagi menghasilkan baka seterusnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pameran ternakan di Laman Veterinar HPPNK itu turut mempamerkan lebih 220 lembu sado selain rusa dan ayam hibrid.

Dalam pada itu, penternak lembu yang terpilih turut menerima lima tan produk makanan ternakan jenama OxyFAT hasil kerjasama Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) bersama Oxytech Sdn. Bhd. dan RHB Bank.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!