PGA gempur sindiket pasir haram, kelapa dan lembu seludup di Kelantan

KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan beberapa kegiatan haram termasuk penggalian pasir, penyeludupan kelapa dan lembu dalam tiga operasi berasingan menerusi Op Taring Wawasan yang dijalankan pada Ahad lalu.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, operasi penguatkuasaan pertama dilakukan di kawasan sungai berhampiran Kampung Pahi, Kuala Krai sekitar jam 4.15 petang, dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kegiatan menggali pasir secara haram itu dilakukan oleh tiga lelaki warga tempatan dan tiga warga Bangladesh tanpa sebarang permit atau dokumen pemindahan sah.
"Polis menahan dan merampas semua peralatan serta jentera seperti rumah penyedut pasir, jengkaut, lori dan lain-lain peralatan yang digunakan untuk kegiatan itu. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2 juta.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965 dan semua suspek serta barang rampasan telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam operasi berasingan di Kampung Terbak, Tumpat, PGA turut menumpaskan kegiatan penyeludupan kelapa selepas menahan sebuah treler dan dua lori yang sedang memindahkan kira-kira 45,100 kilogram kelapa.
"Tiga lelaki warga tempatan gagal menunjukkan dokumen pembelian sah berkaitan kelapa tersebut. Anggaran nilai rampasan adalah RM1.35 juta, termasuk kenderaan," jelas Nik Ros Azhan.
Katanya, kes disiasat di bawah Peraturan 4(2) Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 141 Rancangan Pemasaran Kelapa 1973, dan suspek serta barang rampasan telah diserahkan kepada Pejabat FAMA Kota Bharu.
Sementara itu, pasukan Batalion 9 PGA turut menumpaskan cubaan penyeludupan lembu selepas menahan sebuah kenderaan di Kampung Tok Uban, Pasir Mas pada jam 11.25 malam, hari yang sama.
"Pemeriksaan menemukan tiga ekor lembu dipercayai diseludup dari Thailand dalam gerabak belakang kenderaan tanpa sebarang dokumen sah. Pemandu, seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai menjadi penghantar, turut ditahan."
Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM69,000, dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. Suspek serta barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!