Kanak-kanak lemas dalam kolam inap desa

Lokasi kanak-kanak berusia yang ditemukan lemas di inap desa di Teluk Kumbar pada Rabu
Lokasi kanak-kanak berusia yang ditemukan lemas di inap desa di Teluk Kumbar pada Rabu
A
A
A

BAYAN LEPAS – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan maut selepas ditemui lemas di kolam sebuah inap desa di Teluk Kumbar, di sini, malam Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.38 malam, mangsa dikenali sebagai Luthfan Harraz Azali ditemui terapung dalam kolam berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kehilangan kanak-kanak itu mula disedari selepas didapati tidak berada dalam bilik tidur.

Menurutnya, bapa mangsa membawa kanak-kanak itu bersama dua lagi anaknya ke inap desa untuk bertemu rakannya yang datang dari Kuala Lumpur.

“Mereka menyedari salah seorang anaknya tiada dalam bilik dan terus mencari mangsa di sekitar inap desa.

“Mangsa akhirnya kemudian ditemukan terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sazalee berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Balik Pulau untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat lemas.

Beliau menambah, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian hingga menyebabkan kematian.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!