Guru besar, pembantu tadbir direman disyaki kemukakan tuntutan palsu
Buat tuntutan baucar mengandungi butiran palsu berjumlah RM45,000, guru besar dan pembantu tadbir direman

IPOH - Dua wanita direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan baucar mengandungi butiran palsu berjumlah RM45,000.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liyana Mohd Darus ke atas seorang guru besar dan ketua pembantu tadbir berusia antara 55 hingga 59 tahun di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu.
Majistret Noor Azreen membenarkan reman bermula Rabu hingga Sabtu ini selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 28 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan mahkamah pada jam 10.15 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga.
Kedua-dua penjawat awam itu ditahan ketika hadir ke Pejabat SPRM Perak di Bandar Meru Raya di sini untuk memberi keterangan antara jam 4 hingga 5 petang pada Selasa.
Difahamkan, kedua-dua suspek dipercayai telah memperdaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mengemukakan sembilan baucar bayaran yang disyaki mengandungi butiran palsu berkaitan pembekalan makanan dan minuman di sebuah sekolah.
Tuntutan palsu melibatkan 13 program sekolah itu dilakukan dari tahun 2023 hingga 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
