'Saya akan lawan' - Hilman Idham mengaku tidak salah timbulkan kegentaran awam

Hilman Idham (empat dari kiri) yang memakai kot berwarna hitam, mengangkat tangan bersama
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya ketika hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi satu pertuduhan menimbulkan kegentaran awam, bulan lalu.
Hilman Idham (empat dari kiri) yang memakai kot berwarna hitam, mengangkat tangan bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya ketika hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi satu pertuduhan menimbulkan kegentaran awam, bulan lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan menimbulkan kegentaran awam bulan lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Amira Abd Aziz.

"Saya akan lawan dan minta dibicarakan," kata Muhammad Hilman, 36.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membuat kenyataan di akaun TikTok, 'alfah.channel.tv' yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam, pada jam 2.09 petang, 30 Julai lalu.

Kenyataan itu telah dilihat dan didengar oleh anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Menara KPJ di sini.

Ahli politik itu didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Badiuszaman Ahmad mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Hilman merayu kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya telah memberikan kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.

"Tertuduh seorang ADUN yang dikenali rakyat Selangor dan Malaysia, maka tiada sebab untuk tertuduh melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

"Saya cadangkan jaminan seharusnya pada kadar RM3,000 sahaja dengan seorang penjamin dan tanpa syarat lain kerana beliau perlu menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat," katanya yang hadir bersama peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Zolazrai Zolkapli, Alias Rasman dan Afiqa Nardin.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret, Amira membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 9 Oktober depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!