Himpunan Tolak Akta Hasutan: Hilman Idham sedia bantu siasatan

Muhammad Hilman dalam sidang akhbar di hadapan Bukit Aman pada Isnin.
Muhammad Hilman dalam sidang akhbar di hadapan Bukit Aman pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham memberi jaminan akan memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan berhubung himpunan menolak Akta Hasutan 1948.

Menurut Muhammad Hilman, beliau telah dihubungi pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk hadir pada Isnin.

"Saya dimaklumkan siasatan berdasarkan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Hari ini (Isnin) saya hadir dan akan memberi kerjasama sebaiknya untuk lengkapkan siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Bukit Aman di sini pada Isnin.

Tambahnya, baginya tiada apa-apa kesalahan dilakukan oleh pimpinan semasa himpunan solidariti tolak Akta Hasutan itu.

"Pagi ini saya hadir bersama peguam yang akan mengiringi saya untuk bertemu polis. Mudahan semua urusan pagi ini berjalan baik," ujarnya.

Difahamkan, keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu akan direkodkan kira-kira jam 11 pagi.

Sebelum itu, satu protes menolak Akta Hasutan 1948 telah dilaksanakan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 29 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!