Fokus kepada isu yang lebih besar

No Image Caption
A
A
A

SAYA merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Siti Zailah Mohd Yusoff yang dilaporkan Sinar Harian pada 13 Mac 2020 di bawah tajuk ‘Kementerian bincang polisi pemakaian pramugari' yang antara lain mengatakan bahawa beliau 'berhasrat merealisasikan pelaksanaan polisi pemakaian patuh syariah bagi pramugari.’Menurutnya, polisi itu hanya termaktub kepada pekerja wanita yang beragama Islam manakala mereka yang bukan beragama Islam memadai sekadar berpakaian sopan.

“Jadi insya-ALLAH dengan kerajaan yang ada ini saya akan membuat kunjung hormat dalam masa terdekat ke pejabat Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan saya yakin perkara ini juga dah ada dalam agenda mereka.

“Sebab kita perlu kepada pindaan undang-undang, terutama Akta Kerja jika melibatkan kakitangan yang bekerja, supaya polisi patuh syariah itu dapat dilaksanakan dalam pentadbiran negara kita. Bagi mereka yang bukan Islam, kita tidak paksa,” katanya.

Kenyataan itu menunjukkan walaupun duduk dalam Kabinet kerajaan Persekutuan yang terdiri daripada pelbagai parti, beliau masih berfikir seolah-olah beliau seorang ahli Exco kerajaan negeri Kelantan yang terdiri kesemuanya daripada ahli-ahli Pas dan Malaysia itu Kelantan.

Dalam hal ini, pertama, isu pakaian seragam pramugari Malaysia Airlines (MAS) itu bukanlah satu isu nasional. Ia adalah isu syarikat MAS. MAS tidak perlu mendapat kelulusan Kabinet, apatah lagi pindaan undang-undang untuk memilih pakaian seragam pramugarinya. Ia boleh ditukar oleh MAS hanya dengan mengadakan pakaian seragam baharu.

Kedua, nampaknya beliau berhasrat melaksanakan polisi pakaian patuh syariah kepada kakitangan awam dalam pentadbiran negara (termasuk swasta jugakah?).

Di Malaysia ini, memakai hijab cuma bermula dalam tahun 1970-an. Sehari demi sehari ia menjadi sebagai satu fesyen hingga sekarang boleh dikatakan lebih daripada 90 peratus wanita Melayu memakainya.

Jika itu mematuhi syariah, baguslah. Ia berlaku tanpa undang-undang, tetapi selain daripada hendak mematuhi syarak, ia juga kerana pengaruh fesyen hingga ada orang yang sanggup beratur seawal jam 6 pagi di hadapan butik terkenal, menunggu ia membuka pintu bagi mengambil nombor untuk masuk membeli koleksi tudung terbaharu!

Artikel Berkaitan:

Saya fikir tidaklah perlu membuat undang-undang menjadikan kesalahan bagi wanita Islam yang bekerja dalam sektor awam dan swasta yang tidak memakai hijab. Ia tidak menjadikan mereka lebih warak. Biarlah mereka memilih sendiri. Lebih baik selesaikan isu-isu wanita yang lebih besar.

Pandemik

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan cepatnya menarik perhatian bahawa 13,000 kakitangan MAS terpaksa mengambil cuti tanpa gaji akibat pandemik Covid-19, tidak termasuk syarikat penerbangan lain. Saya menambah, mungkin separuh atau lebih daripadanya adalah wanita. Bukankah isu itu lebih serius untuk diberi perhatian? Mengapa beri peluang kepada lawan politik to score a point?

Ketiga, masa untuk membangkitkan isu ini tidak sesuai. Kerajaan Perikatan Nasional baru berumur dua minggu. Ia belum pun sempat membuat apa-apa kerja untuk memperbaiki kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh 22 bulan lalu.

Keadaan negara begitu teruk dengan masalah ekonomi, Covid-19, harga barang yang naik melambung, minyak sawit tidak laku, harga petroleum dan nilai saham jatuh merudum, pemberhentian kerja dan cuti tanpa gaji yang dipaksakan oleh majikan dan berbagai-bagai lagi.

Orang ramai menunggu apa yang akan dilakukan untuk mengatasi masalah-masalah itu.

Tiba-tiba, Timbalan Menteri kerajaan Perikatan Nasional bercakap mengenai pakaian pramugari MAS? Dalam keadaan sekarang, mungkin MAS pun akan gulung tikar.

Keempat, cara beliau melakukannya tidak betul. Beliau sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan pegawai di kementeriannya; buat kajian yang perlu; cara mengemukakannya yang tidak atau kurang ditentang oleh pembangkang.

Selepas itu berbincanglah dengan kementerian lain yang terlibat diam-diam. Jika perlu mendapat kelulusan Kabinet, sediakanlah kertas Kabinet; jika perlu meminda undang-undang, sediakan rang undang untuk dibawa ke Parlimen. Jika tidak, laksanakanlah secara pentadbiran.

Tetapi tidak, beliau terus membuat kenyataan kepada media massa. Tetapi, beliau bukannya hanya mengikat dirinya sendiri, beliau juga mengikat menteri-menteri di kementerian lain, malah kerajaan Perikatan Nasional untuk melakukannya apabila beliau berkata, “saya yakin perkara ini juga dah ada dalam agenda mereka.”

Kenyataan itu menyebabkan embarrassment kepada menteri-menteri di kementerian lain yang disebutnya itu, terutama sekali kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama.) Bagaimana jika beliau ditanya pemberita mengenainya?

Kelima, menggunakan alasan patuh syariah adalah tidak bijak. Malaysia bukan Kelantan di mana jenama Islam sahaja sudah cukup untuk menarik undi. Di peringkat Persekutuan, lebih baik nilai-nilai Islam itu diserapkan secara senyap-senyap tanpa menyebut unsurnya. Sebut sahaja syariah atau syarak, ada pihak yang melenting dan menentang hingga menimbulkan isu Perlembagaan. Patuh syariah

Pada hal, perkara sama diserap masuk senyap-senyap diterima tanpa soalan. Saya percaya syarikat penerbangan Saudi Airlines atau Emirates tidak heboh-heboh menggunakan alasan patuh syariah untuk membuat pakaian seragam pramugarinya. Semua pramugarinya, Islam atau bukan Islam, Asia atau Eropah, memakainya.

Keenam, oleh sebab beliau menggunakan alasan patuh syariah dan takut ditentang oleh orang bukan Islam, maka beliau mengehadkan cadangannya kepada pramugari beragama Islam sahaja.

Akibatnya, jika dilaksanakan, MAS akan mempunyai dua jenis pakaian seragam, satu untuk pramugari Islam dan satu untuk pramugari bukan Islam. MAS akan menjadi sebuah syarikat penerbangan pertama di dunia yang berbuat demikian. Adakah itu satu kejayaan yang membanggakan?

Ketujuh, katakanlah pramugari Islam MAS sudah memakai pakaian seragam yang patuh syariah, adakah kerja mereka patuh syariah? Saya katakan, jika warak sangat tak usahlah jadi pramugari.

Kelapan, musuh-musuh Pas terutama sekali yang bukan Islam, selalu melabelkan Pas sebagai sebuah parti ekstremis Islam. Kenyataan Timbalan Menteri itu hanya akan menyokong tuduhan mereka itu.

Pas telah mendapat peluang untuk duduk dalam Kabinet kerajaan Persekutuan selepas empat dekad. Inilah peluang untuk Pas menonjolkan program-program berasaskan Islam yang boleh memperbaiki masalah-masalah yang dihadapi negara masa ini sekali gus menolak tuduhan itu.

Setakat ini, baru nampak Menteri dan Timbalan Menteri Pas membaca khutbah Jumaat (itu saya tidak bersetuju kerana, pertama, mereka orang politik; kedua itu bukan tugas mereka dan, ketiga, ada imam yang dilantik untuk melakukannya) dan cadangan yang dibincangkan ini.

Kita menunggu sesuatu yang lebih substantif.

Saya fikir tidaklah perlu membuat undang-undang menjadikan kesalahan bagi wanita-wanita Islam yang bekerja di sektor awam dan swasta yang tidak memakai hijab."