Pahang kutip hasil RM400 juta, sasar RM1 bilion lagi - Wan Rosdy

Wan Rosdy (tiga dari kanan) dan Rastam (tiga dari kiri) menerima replika cek sumbangan FGV.
Wan Rosdy (tiga dari kanan) dan Rastam (tiga dari kiri) menerima replika cek sumbangan FGV.
A
A
A

LIPIS - Kerajaan negeri Pahang terus berada di landasan terbaik apabila berjaya mencatatkan kutipan hasil melebihi RM400 juta setakat ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, negeri itu menyasarkan untuk meraih lebih RM1 bilion hasil sekali lagi pada tahun ini selepas mencatatkan pencapaian hatrik sejak tahun 2022.

Menurutnya, prestasi kutipan hasil tahun ini dilihat lebih memberangsangkan jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu.

“Jika dibandingkan secara 'apple to apple' dengan tahun lalu, kita kini sudah mencatatkan lebihan (surplus).

“Pencapaian ini hasil daripada pengurusan berkesan terhadap ketirisan dan kebocoran, selain kejayaan anak-anak syarikat kerajaan negeri menjana keuntungan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Felda Global Ventures (FGV) Seikhlas Hati: Majlis Sumbangan FGV bersama Menteri Besar Pahang di Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Koyan di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pengerusi FGV Holdings Berhad, Tan Sri Rastam Mohd Isa.

Dalam program tersebut, sebanyak RM80,000 telah disalurkan oleh FGV daripada zakat wakalah perniagaan kepada 200 penerima asnaf, masing-masing menerima wang tunai RM300 dan hamper barangan bernilai RM50. Masjid Sultan Ahmad Shah turut menerima sumbangan RM10,000.

Wan Rosdy turut menyatakan bahawa antara resipi kejayaan kerajaan negeri adalah kerjasama erat yang dipamerkan oleh semua pihak termasuk pemimpin, penjawat awam dan agensi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya sangat berpuas hati dengan apa yang telah dicapai. Ia bukan usaha saya seorang, tetapi hasil kerjasama semua pihak seperti satu pasukan yang bekerja dalam suasana kekeluargaan.

“Sebab itu, kita mampu meraih kejayaan demi kejayaan, dan Insya-Allah banyak lagi yang dapat kita laksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kerjasama baharu kerajaan negeri bersama FGV pada masa akan datang, beliau memaklumkan bahawa pelbagai perancangan sedang dirangka namun belum boleh diumumkan sebelum dimuktamadkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!