Janji Trump kepada Ukraine

Zelenskyy (kiri) mendengar penjelasan Trump ketika mesyuarat di Pejabat Oval pada Isnin.
Zelenskyy (kiri) mendengar penjelasan Trump ketika mesyuarat di Pejabat Oval pada Isnin.
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy kembali bertemu rakan sejawatannya di Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Rumah Putih pada Isnin untuk berunding tentang langkah bagi menamatkan perang di Kiev.

Beberapa pemimpin Eropah turut terbang ke Washington untuk menyertai mesyuarat itu, beberapa hari selepas sidang kemuncak Trump bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin di Alaska yang gagal mencapai sebarang perjanjian untuk melaksanakan gencatan senjata.

Walaupun Trump menabur pelbagai 'janji', tiada komitmen konkrit terhadap jaminan keselamatan atau langkah ke arah perjanjian damai.

Presiden ke-47 AS itu menerusi catatan di platform Truth Social memaklumkan beliau telah menghubungi Putin untuk mengatur pertemuan dua hala bersama Zelenskyy dan disusuli mesyuarat tiga pihak bersamanya.

Trump juga menolak keperluan pelaksanaan tempoh bertenang sebelum proses rundingan itu bermula sebaliknya memberi jaminan keselamatan kepada Kiev tanpa memberikan butiran secara terperinci.

"Kami akan memberikan perlindungan sewajarnya. Eropah akan menjadi pertahanan barisan pertama," katanya yang tidak menolak campur tangan pasukan tentera AS.

Ketika sidang media selepas pertemuan itu berakhir, Zelenskyy memaklumkan 'jaminan keselamatan' itu akan melibatkan perjanjian bekalan senjata AS-Ukraine bernilai AS$90 bilion (RM380 bilion).

Zelenskyy juga dilihat cuba mempamerkan imej 'lebih kemas' dan tertib setelah pertemuan yang agak tegang sebelum ini.

Trump dikatakan pernah menegur secara sinis pakaian tentera yang dikenakan beliau ketika kedua-duanya bertemu di Pejabat Oval pada Februari lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!