Pasangan dua anak perlukan RM5,990 sebulan untuk hidup di Kota Bharu– LPPKN

KOTA BHARU - Pasangan suami isteri yang mempunyai dua anak memerlukan sekurang-kurangnya RM5,990 sebulan bagi meneruskan kelangsungan hidup di bandar ini.
Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Kelantan, Haslinda Hassan berkata, dapatan itu berpandukan kepada data belanjawan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Pasangan yang mempunyai seorang anak pula memerlukan kira-kira RM5,250 sebulan, manakala pasangan belum mempunyai anak RM4,010.
“Bagi individu bujang, kos sara hidup dianggarkan RM2,260 sebulan, manakala ibu atau bapa tunggal dengan seorang anak memerlukan RM4,080 dan dua anak RM4,750.
“Pasangan warga emas pula memerlukan sekitar RM2,840 sebulan, manakala warga emas bujang RM2,200,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program Sambutan Hari Penduduk Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2025, pada Selasa.
Program berkenaan dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Arham Abdullah, yang diadakan di Dewan Keusahawanan UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa.

Turut hadir, Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (INSPEK) UMK, Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail, serta Pengurus Cawangan KWSP Kota Bharu, Tengku Ismariza Tuan Ismail.
Menurut Haslinda, faktor kewangan dilihat sebagai punca utama pasangan muda menangguhkan perkahwinan atau memilih untuk tidak mempunyai anak sehingga boleh mempercepatkan fenomena penuaan penduduk di negeri ini.
Statistik menunjukkan 11.1 peratus penduduk Kelantan berusia 60 tahun ke atas, dan angka itu dijangka meningkat kepada 15 peratus menjelang 2032, sekali gus menandakan negeri ini bakal berdepan isu penuaan lebih cepat sekiranya kadar kelahiran menurun.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap trend mentaliti ‘childless’ atau tidak mahu memiliki anak yang tular di media sosial kerana kebanyakannya dipengaruhi ideologi tanpa asas data.
Bagaimanapun, Kelantan masih mencatat kadar kesuburan tinggi iaitu 2.7 peratus berbanding kadar nasional 1.7 peratus.
“Namun, jika mentaliti enggan mempunyai anak ini diterima secara meluas, ia akan menjejaskan kadar kelahiran, sekali gus mempercepatkan negara menjadi negara tua,” katanya.
Dalam perkembangan sama, LPPKN mengambil langkah proaktif dengan membangunkan kursus pra perkahwinan Smart Start dan program Smart Start Second Honeymoon bagi pasangan yang sudah berkahwin lebih lima tahun untuk mengukuhkan institusi keluarga.
Selain itu, inisiatif seperti Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Subfertiliti (BUAI) turut diperkenalkan melalui subsidi rawatan intrauterine insemination (IUI) untuk pasangan wanita berusia bawah 36 tahun.
“Program BUAI ini baru dilancarkan dan sedang diperluas dengan usaha melantik pusat kepakaran di Kelantan selepas Johor dan Pulau Pinang. Sambutannya sangat menggalakkan kerana membantu pasangan yang berdepan isu kesuburan,” katanya.
Menurut beliau, dengan kerjasama berterusan kerajaan negeri, LPPKN yakin pelbagai inisiatif mampu membantu pasangan muda membina keluarga di samping menangani cabaran kewangan, kerjaya dan gaya hidup semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


