550 produk kimia pertanian tidak berdaftar dirampas

Antara rampasan yang dibuat termasuk 150 produk hormon tanaman, 400 produk penggalak susu getah dan sebuah van Toyota Hiace 2.0 - PGA

Bahan kimia tersebut dipercayai diambil dari sebuah kedai di Kaki Bukit untuk dihantar ke Selangor. FOTO PGA
Bahan kimia tersebut dipercayai diambil dari sebuah kedai di Kaki Bukit untuk dihantar ke Selangor. FOTO PGA
A
A
A

PADANG BESAR – Seorang lelaki tempatan ditahan manakala sebanyak 550 produk kimia pertanian tidak berdaftar berjaya dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Kompeni ‘C’ Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Isnin.

Operasi yang dijalankan di Sekatan Jalan Raya Sempadan Kilometer 27 Padang Besar itu berjaya mengesan sebuah van jenis Toyota Hiace berwarna putih yang berada dalam keadaan mencurigakan ketika melalui sekatan tersebut.

Menurut Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu dipandu oleh seorang lelaki berusia lingkungan 27 tahun dalam kejadian jam 2 petang.

“Pemeriksaan lanjut di dalam van tersebut menemukan sejumlah produk pertanian yang disyaki mengandungi bahan kimia tidak berdaftar dengan Jabatan Pertanian Malaysia.

“Antara rampasan yang dibuat termasuk 150 produk hormon tanaman, 400 produk penggalak susu getah dan sebuah van Toyota Hiace 2.0. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM90,200,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas Shahrum, suspek dipercayai mengambil bahan kimia tersebut dari sebuah kedai di Kaki Bukit untuk dihantar ke Selangor.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 kerana memiliki bahan kimia pertanian yang tidak sah.

“Briged Utara PGA sedang giat melakukan pengawasan dan pemeriksaan di semua sekatan jalanraya sempadan Negeri Perak, Kedah dan Perlis bagi mengekang aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Masyarakat diseru supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti yang menyalahi undang- undang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!