37 PATI, seorang warga tempatan ditahan dalam Ops Sapu, Ops Selera

Beberapa orang warga asing yang diberkas di sebuah premis makanan sempena Ops Selera dan Ops Sapu di sekitar Johor Bahru pada Jumaat.- Foto: JIM Johor
Beberapa orang warga asing yang diberkas di sebuah premis makanan sempena Ops Selera dan Ops Sapu di sekitar Johor Bahru pada Jumaat.- Foto: JIM Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 37 warga asing dan seorang warga tempatan dalam serbuan di sebuah premis makanan sempena Ops Selera dan Ops Sapu di sekitar Johor Bahru, pada Jumaat.

Serbuan yang disertai 40 pegawai Bahagian Penguatkuasaan itu berdepan sedikit kesukaran apabila dua orang warga asing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak imigresen.

Namun, tindakan mereka menemui jalan buntu apabila berjaya diberkas oleh anggota JIM Johor.

Menurut Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, kesemua warga asing berkenaan diberkas hasil aduan awam mengenai kewujudan pekerja asing tanpa permit atau pas sah di premis terbabit.

“Dalam operasi ini, seramai 63 warga asing dan warga tempatan diperiksa. Hasilnya, seramai 37 warga asing ditahan melibatkan 13 lelaki dan 10 perempuan warga Myanmar, lima lelaki warga Bangladesh serta tiga lelaki dan enam perempuan warga Indonesia berusia antara 21 hingga 60 tahun.

“Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemilik premis berkenaan.

“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah; Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal di Malaysia setelah pas atau permit tamat atau dibatalkan; serta Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS),” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah Mohd Rusdi, seorang warga tempatan turut ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.

Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Rusdi berkata, sebanyak enam notis hadir ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan bagi membantu siasatan.

“JIM akan terus memperkasakan penguatkuasaan membanteras warga asing yang melakukan kesalahan di bawah akta dan peraturan imigresen.

“JIM juga tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis serta individu yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kita juga menggesa PATI yang layak untuk menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) mulai 19 Mei 2025 hingga 30 April 2026 bagi pulang ke negara asal secara sukarela,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!