Pembelian pesawat Boeing bernilai AS$9.5 bilion tidak jejas hutang negara - MOF

Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembelian pesawat Boeing bernilai AS$9.5 bilion bagi fasa kedua tidak akan menjejaskan tahap hutang negara serta memberi impak kepada defisit fiskal Malaysia, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, pembelian pesawat tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

"Pada masa ini, semuanya berada dalam jangkaan kita,” kata Hui Ying dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai langkah kontingensi kerajaan dalam mengawal beban hutang negara selepas Malaysia membuat komitmen untuk membeli pesawat dari Amerika Syarikat (AS).

Menjawab pertanyaan asal Nik Muhammad berkenaan justifikasi kerajaan dalam membenarkan hutang negara kekal tinggi di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik, Hui Ying berkata, peningkatan hutang kerajaan adalah disebabkan oleh keperluan kerajaan untuk membiayai defisit fiskal bagi menampung perbelanjaan pembangunan (DE).

"Pembiayaan ini secara langsung akan meningkatkan paras hutang kerajaan selagi mana kedudukan kewangan kerajaan mengalami defisit,” kata beliau.

Hui Ying berkata kerajaan membiayai DE menerusi pelbagai sumber seperti hasil cukai dan pendapatan bukan cukai.

"Sehingga kini, kerajaan tidak pernah meminjam melebihi had statutori yang dibenarkan di dalam akta-akta berkaitan hutang Kerajaan Persekutuan.

"Setakat akhir Jun 2025, instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia adalah pada kadar 62.7 peratus, iaitu tidak melebihi had 65 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar yang ditetapkan di bawah Akta 637 dan Akta 275," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Hui Ying turut berkata, pinjaman luar pesisir berjumlah RM22.8 bilion iaitu tidak melebihi paras RM35 bilion yang ditetapkan di bawah Akta 403 dan Bil Perbendaharaan Malaysia berjumlah RM2 bilion, tidak melebihi paras RM10 bilion yang ditetapkan di bawah Akta 188. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!