Kestabilan maritim ASEAN perlu perpaduan serantau

GEORGE TOWN - Malaysia menegaskan bahawa kestabilan maritim ASEAN tidak boleh dipandang ringan dan hanya dapat dipertahankan melalui perpaduan serantau yang utuh.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cabaran maritim yang semakin rencam termasuk pencerobohan asing, ancaman siber, penangkapan ikan haram dan penyebaran maklumat palsu menuntut tindakan kolektif ASEAN dan bukannya pendekatan berpecah-belah.
“Tiada sebuah negara atau agensi pun yang mampu menanganinya secara bersendirian. ASEAN mesti kekal sebagai sauh kepada ketertiban maritim serantau,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Panglima-Panglima Tentera Laut ASEAN ke-19 (ANCM) di Batu Ferringhi di sini, pada Selasa.
Menurutnya, solidariti ASEAN perlu terus diperkukuh terutama ketika berdepan taktik ‘grey zone’ seperti pencerobohan asing, paksaan maritim dan ancaman terhadap kedaulatan.
“Undang-undang antarabangsa, khususnya UNCLOS 1982, perlu menjadi asas kerjasama kita. Selain itu, cabaran Inovasi Maritim ASEAN (AMIC) digalakkan bagi mengajak pegawai muda mencetuskan idea kos rendah tetapi berimpak tinggi dalam menyelesaikan isu maritim.
“Piala Sukan Tentera Laut ASEAN juga dicadangkan untuk memupuk persahabatan dan semangat berpasukan melalui pertandingan sukan, selain projek bersama ASEAN yang melibatkan pembangunan teknologi, peningkatan modal insan dan pengukuhan keupayaan tentera laut secara kolektif,” ujarnya.
Mohamed Khaled turut mencadangkan pendekatan keselamatan maritim menerusi model Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WOGOS) yang merangkumi kerjasama antara kerajaan tempatan, masyarakat sivil, akademia, badan pemikir dan sektor swasta.
“Jika ASEAN tidak bertindak sekarang, kestabilan maritim kita akan terjejas. Kita tidak boleh berdiam diri, berpecah-belah atau membiarkan Asia Tenggara menjadi tidak stabil.
“Apa yang diperlukan ialah tindakan kolektif yang mengubah dialog kepada pelaksanaan,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia komited ke arah itu dan mahu semua negara anggota ASEAN bersama-sama membina masa depan maritim yang selamat dan stabil.
“Malaysia berharap ANCM kali ini dikenang sebagai titik perubahan di mana ASEAN bersatu membentuk penyelesaian, bukan sekadar pertukaran ucapan atau berjabat tangan.
“Setiap Panglima Tentera Laut bukan hanya pelindung sempadan maritim tetapi sebenarnya adalah pembina keamanan serantau. Marilah kita berganding bahu secara terbuka, jujur dan berkesungguhan untuk menjamin masa depan maritim ASEAN,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran semua Panglima Tentera Laut ASEAN dan secara khusus menyambut penyertaan pertama Timor Leste sebagai pemerhati, sekali gus membuka ruang kerjasama baharu dalam semangat kesatuan ASEAN.
Mesyuarat ANCM ke-19 ini turut disusuli dengan Latihan Tentera Laut Pelbagai Hala ASEAN (AMNEX) dan Perbarisan Armada ASEAN (AFR) yang dijadual berlangsung sepanjang minggu ini di Pulau Pinang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

