KRPPM-IGAR fokus perkukuh reformasi institusi, perundangan

Syed Ibrahim (duduk, tengah) dan Syed Hamid (duduk, dua dari kanan) selepas menghadiri Mesyuarat KRPPM - IGAR di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin.
Syed Ibrahim (duduk, tengah) dan Syed Hamid (duduk, dua dari kanan) selepas menghadiri Mesyuarat KRPPM - IGAR di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia-Integriti, Governans dan Anti-Rasuah (KRPPM-IGAR) memberi tumpuan terhadap usaha memperkukuhkan reformasi institusi serta perundangan.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ia termasuklah bagi menambah baik Akta Perkhidmatan Parlimen, Ombudsman yang bebas, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan pengenalan Pelaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertunda (DPA).

“Dalam mesyuarat terbaharu hari ini (Isnin), kita membincangkan perkara asas berhubung agenda reformasi institusi dan perundangan yang telah digerakkan sejak beberapa tahun lalu.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah lanjutan daripada kelulusan Akta Perkhidmatan Parlimen serta pindaan terhadap peraturan-peraturan mesyuarat. Ini ada kaitan secara langsung dengan usaha reformasi yang kita lakukan sebelum ini.

“Kita juga bincangkan mengenai DPA yang agak terperinci, tetapi kita sudah tetapkan langkah untuk membawa cadangan ini kepada perhatian kementerian, Menteri Undang-Undang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau sebelum itu menghadiri Mesyuarat KRPPM - IGAR di bangunan Parlimen, yang turut dihadiri bekas Menteri Luar Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar sebagai wakil pakar dan masyarakat sivil.

Menurut Syed Ibrahim, KRPPM-IGAR turut memberi perhatian kepada cadangan undang-undang kebebasan maklumat dan peranan Ombudsman dalam memperkukuh semak dan imbang sistem tadbir urus negara.

Beliau menegaskan, walaupun beberapa perkara sedang dilaksanakan kerajaan, kumpulan rentas parti itu mahu memastikan setiap langkah tidak mempunyai kelompongan yang boleh dimanipulasi atau disalah guna pihak tertentu.

“Bila ada kelompongan, kadang-kadang ia akan digunakan untuk mengambil kesempatan dan berlaku salah guna kuasa. Jadi kita mahu pastikan ia ditangani lebih awal sebelum sebarang undang-undang baharu dibentangkan dan diluluskan di Parlimen,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya kemajuan semasa, beliau berkata KRPPM-IGAR sejak awal penubuhannya memberi keutamaan kepada beberapa reformasi institusi besar seperti pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

“Semua ini isu besar dan ia mengambil masa. Kita faham perkara seperti pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bukan mudah untuk dilaksanakan dalam masa singkat.

“Tetapi kita tetap menilai kemajuan reformasi dari semasa ke semasa. Hari ini, kita lihat perkembangan pada Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan peraturan mesyuarat, Akta Kebebasan Maklumat dan cadangan Ombudsman. Bagi saya, ini juga besar cuma tidak sebesar isu pemisahan kuasa yang akan ambil masa lebih lama,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, laporan akhir mengenai perkara yang dibincangkan dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang selepas Jemaah Menteri membincangkannya pada hujung bulan ini.

“Maknanya, usaha ini dalam kemajuan yang jelas. Sebagai kumpulan rentas parti, kita akan terus memantau. Saya harap sokongan penuh semua anggota KRPPM-IGAR dapat memastikan agenda reformasi ini dibawa dengan mantap,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!