[VIDEO] K3P lahirkan duta pelancongan kecil

HULU TERENGGANU - Aktiviti Kelab Program Pelancongan (K3P) dilaksanakan di peringkat sekolah mampu melahirkan generasi muda yang celik dalam sektor pelancongan di samping memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu, Mazshida Ruslal berkata, program itu turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai prospek kerjaya dalam bidang pelancongan seterusnya melahirkan modal insan berpengetahuan yang dapat menyumbang kepada pembangunan sektor berkenaan.
"Selain aktiviti pembelajaran di dalam kelas, K3P menekankan pendekatan pembelajaran secara praktikal dengan membawa pelajar turun padang bagi mengenali produk pelancongan tempatan.
"Misalnya, program terbaharu yang dilaksanakan di Rimba Razia bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar memahami aspek ekopelancongan malah memberi pengalaman langsung mengenai pemuliharaan haiwan dan alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena program Rimba Explorers K3P di Zoo Rimba Razia, Kampung Dusun di sini pada Isnin.
Jelas Mazshida, pendaftaran K3P terbuka kepada sekolah menengah atau maktab perguruan di bawah Seksyen 2, Akta Pendidikan 1966 (Akta 550).

Katanya, syarat minimum pendaftaran K3P melibatkan sekolah yang telah mengenal pasti sekurang-kurangnya seramai 20 bilangan pelajar yang berminat untuk menyertai K3P sebagai ahli secara sukarela.
"Buat masa ini pelaksanaan program itu di Terengganu melibatkan enam buah sekolah antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Kemaman; SMK Permai, Kemaman; SMK Bukit Sawa, Marang; SMK Permaisuri Nur Zahirah, SMK Jabi dan Sekolah Menengah Imtiyaz Yayasan Terengganu di Besut.
"Inisiatif ini seiring dengan usaha kementerian dalam memperkukuh kelestarian pelancongan negara serta menyokong Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, "ujarnya.
Beliau berkata, program itu diharap dapat diteruskan memandangkan ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah membantu mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan di rantau ini.
"Program ini memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepentingan industri pelancongan, seni dan budaya negara.
"Selain itu, ia meningkatkan kesedaran pelajar terhadap prospek kerjaya dalam industri pelancongan, seni dan budaya sekali gus meningkatkan integrasi perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan generasi muda melalui aktiviti-aktiviti pelancongan dan kerja-kerja kesukarelawanan," katanya.
Sementara itu, rata-rata pelajar ditemui teruja dapat menyertai program tersebut selain dapat menimba pengalaman baharu bersama haiwan.
Nurul Humairah Zulkifli, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi berkata, penyertaannya dalam K3P sejak awal bulan lalu memberi pengalaman bermakna termasuk mengenali spesies haiwan baharu dan menambah kenalan.
"Saya dapat kawan baharu, dapat kenal haiwan yang sebelum ini tidak pernah tahu. Program ini macam beri pengalaman baharu dan saya nampak hala tuju modul kelab ini untuk masa depan," katanya.
Rakannya, Nurul Aina Syazwani Trajudin, 15 berkata, pengalaman paling menarik ketika membersihkan kandang haiwan serta mempelajari lebih banyak mengenai spesies yang terdapat di zoo tersebut.
"Saya seronok sebab dapat belajar perkara baharu selain berkenalan dengan rakan lain. Akan datang saya mahu ceburi bidang ini kerana semakin berminat,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Hawa Mohd Izwani, 15, dari sekolah sama mengakui program tersebut memberi gambaran jelas mengenai peluang kerjaya berkaitan ekopelancongan dan pemuliharaan haiwan.
"Saya berminat untuk mendalami bidang pekerjaan yang sesuai dengan minat ini dan program ini memang membantu saya menambah pengetahuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
