Nelayan Kuala Kedah syukur jeti baharu siap, mudahkan urusan

KUALA KEDAH – Kira-kira 100 nelayan di Kuala Kedah kini menarik nafas lega setelah sebuah jeti tambatan bot baharu berjaya disiapkan untuk memudahkan urusan harian mereka.
Jeti sementara yang terletak berhampiran Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kedah ini dibina susulan projek meroboh, membina, dan menaik taraf terminal serta jeti penumpang, kargo, dan RORO di kawasan tersebut.
Menurut Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, Kementerian Pengangkutan selaku agensi pelaksana projek telah menyumbang sebanyak RM130,000 bagi pembinaan jeti tersebut yang siap sepenuhnya pada 11 Februari lalu.
“Jeti ini dicadangkan sebagai pusat tambatan bot yang lebih tersusun, selamat, dan strategik, sekaligus memudahkan operasi harian nelayan. Ini adalah langkah penting untuk memastikan komuniti nelayan dapat menjalankan aktiviti mereka tanpa halangan,” katanya.
Beliau menjelaskan, jeti baharu ini dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tambatan bot bagi mengurangkan kesesakan, laluan berbatu untuk memudahkan pengangkutan hasil tangkapan, struktur kayu nibong yang tahan lasak, serta lampu solar untuk pencahayaan tambahan, terutama pada waktu malam.
Beliau juga memaklumkan bahawa sebuah jeti konkrit yang lebih kukuh dirancang untuk dibina di kawasan tersebut bagi kegunaan jangka panjang.

“Tanah ini adalah milik LKIM, jadi kita akan memastikan kawasan ini dikhaskan untuk komuniti nelayan Tok Pasai. Dengan perancangan yang baik, kemudahan ini akan membantu nelayan terus menjalankan aktiviti mereka secara lebih efektif,” tambahnya.
Bagi komuniti nelayan yang menggunakan jeti tersebut, kehadirannya memberikan kemudahan amat diperlukan meskipun jaraknya sedikit jauh daripada jeti asal.
Pengerusi Biro Kebajikan Persatuan Nelayan Kuala Kedah, Halim Bahari menyatakan jeti baharu ini memberikan penyelesaian yang lebih baik, terutamanya ketika menghadapi ribut dan ombak besar.
“Kalau musim ribut, kami boleh naikkan bot ke jeti baharu ini. Ini adalah hak kita sendiri, jadi kita perlu berpakat untuk menggunakan kemudahan ini demi keselamatan bersama,” katanya.
Nelayan lain, Shahrul Nizam Mohd Saidi, turut melahirkan rasa syukur atas inisiatif tersebut.
“Kami berterima kasih kepada pihak LKIM dan persatuan nelayan kerana menyediakan tempat tambatan bot yang selamat. Walaupun lokasinya sedikit jauh, ia tetap membantu memastikan keselamatan bot kami,” katanya.
Pada majlis penyerahan jeti tambatan baharu itu, sebanyak 30 nelayan turut menerima Bantuan Bakul Makanan sebagai tanda sokongan kepada komuniti tersebut.
April tahun lalu, media melaporkan bahawa projek menaik taraf Terminal Jeti Kuala Kedah yang baru bermula telah mengganggu rutin harian nelayan di kawasan tersebut.
Antara masalah yang dihadapi ialah ketiadaan jeti atau pelantar untuk menyimpan dan menurunkan hasil laut.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin, menyatakan bahawa isu tersebut akan dibawa kepada pihak berkaitan untuk dibincangkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!