Siasatan eHati bukan hanya di Selangor - Mohamad Fahmi

SHAH ALAM – Pihak berkuasa memperluas siasatan terhadap penganjuran program motivasi rumah tangga eHati selepas ia didapati bukan sahaja berlangsung di Selangor sebaliknya turut diadakan di negara jiran.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, berkata polis dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang meneliti dan menyiasat penganjurannya termasuk aktiviti berbogel yang dipanggil Queen’s Night.
“Kes itu sedang disiasat dan saya dimaklumkan siasatan bukan hanya di Selangor tetapi menjangkau ke negara jiran kerana program-program itu dibuat di Bali, Indonesia, dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Malaysia Book of Records di sini pada Isnin.
Mohammad Fahmi berkata, terdapat aduan yang mendakwa aktiviti itu dilakukan secara ekstrem dan tidak sesuai dengan budaya negara ini.
Beliau menjelaskan, sehingga kini polis bersama JAIS masih mengumpul fakta berkaitan bagi mengenal pasti tindakan perundangan khususnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kita kena lihat fakta yang ada dan setakat ini maklumat lain sedang dikumpul oleh pihak berkuasa, namun siasatan turut melibatkan polis,” ujarnya.
Sinar Harian pada 12 Julai lalu melaporkan, kerajaan Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada JAIS untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung penganjuran program eHati yang didakwa songsang dan terpesong.
Pada 20 Julai lalu, polis Selangor memaklumkan seramai 90 individu telah dirakam keterangan berhubung siasatan termasuk fasilitator, peserta serta kakitangan syarikat yang terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

