Program motivasi eHati: JAIS tahan enam individu

Sehingga kini JAIS telah merakam keterangan 38 saksi dan mengenal pasti lebih 280 peserta program tersebut yang akan turut dipanggil untuk membantu siasatan. (Gambar kecil: Mohd Shahzihan)
Sehingga kini JAIS telah merakam keterangan 38 saksi dan mengenal pasti lebih 280 peserta program tersebut yang akan turut dipanggil untuk membantu siasatan. (Gambar kecil: Mohd Shahzihan)
A
A
A

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan enam individu yang disyaki terbabit dalam penganjuran program motivasi rumah tangga eHati yang dipercayai membawa ajaran bercanggah dengan hukum syarak.

Kesemua mereka terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita berusia antara 26 hingga 47 tahun, ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan di sini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, semua Orang Yang Disyaki (OYDS) telah diambil rakaman percakapan bagi membantu siasatan berhubung program motivasi tersebut yang berlangsung pada 27 hingga 30 September 2024 di IDCC, Shah Alam.

“JAIS telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 7 (Doktrin Palsu), Seksyen 8 (Dakwaan Palsu), Seksyen 10 (Menghina atau Menyebabkan Dipandang Hina Agama Islam) dan Seksyen 16 (Penerbitan Agama Bertentangan dengan Hukum Syarak) di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan dilakukan berikutan terdapat unsur-unsur upacara atau perbuatan berkaitan agama Islam yang menyalahi hukum syarak sepanjang program itu berlangsung.

Sehingga kini, katanya, JAIS telah merakam keterangan 38 orang saksi dan mengenal pasti lebih 280 peserta program tersebut yang akan turut dipanggil untuk membantu siasatan.

Tambah beliau, tiga buah buku dan tiga keping cakera padat video (VCD) yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Mufti Negeri Selangor untuk mendapatkan pandangan serta penilaian dari sudut hukum syarak.

Mohd Shahzihan memaklumkan bahawa sebaik sahaja siasatan lengkap, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor untuk tindakan lanjut.

"JAIS juga sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap keseluruhan modul dan kandungan program yang dianjurkan," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 20 Julai lalu melaporkan seramai 90 individu telah dirakam keterangan setakat ini berhubung siasatan yang dijalankan melibatkan program motivasi rumah tangga eHati.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan mereka yang dipanggil termasuk fasilitator, peserta serta kakitangan syarikat yang terlibat dalam program tersebut.

Terdahulu, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program berkenaan yang diusahakan oleh sepasang suami isteri.

Menerusi satu hantaran di Facebook, individu berkenaan mendakwa dua wanita telah melakukan tarian bogel dalam program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di sini.

Peserta program itu juga didakwa diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya, sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh singkat.

Selain itu, peserta turut diarahkan menjalani upacara mandi suci dan 'kelahiran semula' yang menyerupai ritual keagamaan lain.

Pendedahan tersebut mencetuskan kemarahan serta kritikan masyarakat berhubung aktiviti yang disifatkan sebagai songsang dan bertentangan dengan ajaran Islam.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!