KKM belum terima permohonan rasmi ambil jururawat Indonesia

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan rasmi berkaitan cadangan pengambilan jururawat dari Indonesia bagi menampung kekurangan tenaga kerja di hospital tempatan.
Menterinyanya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebarang keputusan untuk meluluskan pengambilan tenaga tambahan perlu mengambil kira beberapa faktor utama termasuk keberkesanan, keselamatan dan keperluan semasa, selain perlu diperhalusi bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“(Berkaitan) Cadangan daripada Konsulat Jeneral Indonesia (KJRI) Johor Bahru itu, (memang ada) sedikit perbincangan dan pengurusan dengan kerajaan Johor, terkait dengan kekurangan di Hospital Pasir Gudang, sebenarnya KKM belum dapat secara bertulis.
“Maka, kita anggap belum lagi ada permohonan jururawat dari Indonesia itu untuk dipertimbangkan sebagai pengambilan bagi menyelesaikan masalah jururawat ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang meminta penjelasan mengenai rancangan pengambilan jururawat dari Indonesia dan dakwaan Hospital Pasir Gudang tidak dapat beroperasi sepenuhnya akibat kekurangan doktor dan jururawat.
Bagaimanapun, Dzulkefly menambah, kementerian bersedia untuk mempertimbangkan cadangan itu jika terdapat permohonan.
“Maka, kalau ada (cadangan), kita sedia mempertimbangkannya. Tapi pada akhirnya saya perlu tekankan sama ada kita lulus atau tidak, perlu lihat juga faktor yang perlu dipertimbangkan serius sama ada daripada sudut keberkesanan, keselamatan dan keperluan.
“Kita juga kena kenal pasti dan mengadakan sedikit perbincangan dengan JPA kerana ini bukan perkara mudah untuk kita lakukan tindakan segera,” jelasnya.
Beliau menegaskan, meskipun usaha pengambilan sedang digerakkan, proses berkenaan mengambil masa kerana melibatkan pelbagai lapisan pertimbangan dan mengakui negara berdepan kekurangan kira-kira 5,000 jururawat yang perlu dipenuhi segera.
Menyentuh mengenai Hospital Pasir Gudang, Johor, beliau menjelaskan kemudahan itu telah diserahkan kepada KKM, namun cabaran utama bukan pada penambahan fasiliti, sebaliknya pembekalan kakitangan.
Menurutnya, pihak kementerian bercadang memulakan operasi dengan perkhidmatan kecemasan terlebih dahulu sebelum pengisian jawatan lain dilaksanakan secara berperingkat.
“Bukan sekadar doktor dan jururawat, tetapi termasuk juga hospital pakar. Berkait Hospital Pasir Gudang itu, kita akan kita perhatikan. KKM bercadang untuk mengisi, tetapi hakikatnya kita mulakan dengan perkhidmatan kecemasan.
“Namun untuk mendapatkan 50 peratus kakitangan itu, ia akan mengambil sedikit masa. Kami sedang berusaha untuk mengisi keperluan ini dalam waktu segera,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

