Premis proses e-waste haram diserbu, sitaan lebih RM8 juta

Sebuah premis memproses e-waste diserbu polis bersama JAS di Sungai Petani, Kedah pada Ahad. Foto: PDRM. Foto kecil: Azmi
Sebuah premis memproses e-waste diserbu polis bersama JAS di Sungai Petani, Kedah pada Ahad. Foto: PDRM. Foto kecil: Azmi
A
A
A

KUALA LUMPUR – Enam lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan memproses sisa elektronik (e-waste) di sebuah premis di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah ditahan pada Ahad.

Operasi itu dijalankan hasil risikan Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Sungai Petani serta Balai Polis Tikam Batu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, suspek terdiri daripada lima lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga China.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan untuk tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Sitaan ke atas premis berkenaan turut dilakukan oleh pihak JAS untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan mencecah lebih RM8 juta,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, tindakan turut diambil mengikut Seksyen 34A, Seksyen 34B dan Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jelasnya, pihak berkuasa memaklumkan operasi bersepadu ini adalah sebahagian daripada tindakan Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) yang menekankan kerjasama rentas agensi untuk memperkasakan penguatkuasaan dan memberi impak lebih menyeluruh.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pemprosesan dan pengurusan haram e-waste,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!