'Siasat Rafizi jika ada bukti tapi jangan menghukum terlalu awal' - Anwar

Anwar bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheeding pada Jumaat. Foto: FB Anwar Ibrahim
Anwar bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheeding pada Jumaat. Foto: FB Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LANGAT – Sebarang dakwaan salah laku dan rasuah yang membabitkan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli perlu disiasat dan diambil tindakan jika wujud bukti, namun orang ramai tidak harus terburu-buru menghukum sebelum dibuktikan bersalah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tuduhan yang belum disahkan kesahihannya tidak seharusnya disebarkan terutama ketika bulan puasa.

“Apapun dakwaan salah laku yang timbul, kita mesti konsisten. Sesiapa yang dituduh perlu disiasat secara telus dan terbuka. Sebelum siasatan dan tindakan undang-undang selesai, kita tidak patut mengutuk sesiapa.

"Beri ruang untuk siasatan yang betul. Jangan sebarkan tuduhan sepanjang Ramadan. Jika ada bukti kesalahan, ambil tindakan. Namun, kita tidak patut membuat dakwaan untuk menghukum sebelum fakta diketahui.

"Masalah di negara kita ialah, sebaik seseorang dituduh, orang terus menghukum,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheeding di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa walaupun beliau mengalu-alukan sebarang dakwaan atau aduan berkaitan salah laku, terutamanya yang membabitkan kerajaan, perkara itu perlu ditangani secara serius dan bukan sekadar fitnah.

“Sehingga fakta diketahui, tuduhan palsu boleh menukar niat baik kepada kesilapan. Itu sebabnya saya mengalu-alukan sebarang dakwaan, sama ada terhadap kerajaan atau diri saya sendiri. Jika ada bukti, siasat secara telus.

"Hanya dengan itu negara dapat berfungsi secara teratur. Namun, sepanjang Ramadan, kita perlu fokus pada ibadah, memaafkan dan mengeratkan perpaduan. Itu yang patut kita lakukan,” ujarnya.

Dakwaan salah laku dan rasuah yang dikaitkan dengan Rafizi dilapor melibatkan perjanjian antara kerajaan dan syarikat cip semikonduktor antarabangsa, ARM Holdings Plc bernilai RM1.1 bilion serta projek solar berkapasiti 750 megawatt yang dilaksanakan oleh UEM Lestra bernilai RM2.5 bilion.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Rafizi menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai cubaan mencemar reputasinya.

Beliau juga menegaskan bahawa tiada bukti fizikal atau transaksi wang yang menunjukkan penglibatannya dalam kedua-dua kes tersebut.

Ahli Parlimen Pandan itu turut menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai satu bentuk ‘fitnah overkill’ kerana jumlah RM3.6 bilion yang dikaitkan dengannya lebih besar daripada jumlah RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ringkasan AI

  • Dakwaan salah laku dan rasuah melibatkan Rafizi Ramli perlu disiasat dan diambil tindakan jika ada bukti
  • Perdana Menteri mencadangkan orang ramai tidak sepatutnya terburu-buru menghukum sebelum kesalahan dibuktikan
  • Dakwaan yang belum disahkan tidak sepatutnya disebar, lebih-lebih lagi semasa bulan puasa
  • Anwar Ibrahim menyeru kepada siasatan yang telus dan terbuka terhadap sebarang dakwaan salah laku
  • Rafizi menafikan dakwaan rasuah yang melibatkan dia dalam projek bernilai berbilion ringgit dan menyifatkannya sebagai fitnah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!