Tambah 50 talian, mudahkan orang awam dapatkan maklumat; MKN

MKN - Foto Sumber Internet
MKN - Foto Sumber Internet
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menambah sebanyak 50 talian lagi bagi memudahkan urusan orang ramai untuk mendapatkan maklumat berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan mulai hari ini sehingga 31 Mac nanti.

Sumber MKN, ketika ini orang ramai menghubungi talian hotline Pusat Pengurusan Operasi Negara yang disediakan iaitu 03-88882010 dan panggilan itu kemudiannya dipecahkan kepada enam talian khas.

Bagaimanapun katanya, jumlah panggilan yang diterima terlalu banyak dan sejak semalam, MKN menerima sebanyak 900 panggilan daripada orang awam.

"Talian hotline MKN sepatutnya beroperasi bermula jam 12 tengah hari hari ini tetapi kita sebaliknya sudah menerima panggilan lebih awal iaitu sejak semalam.

"Talian sangat sibuk dan setakat jam 2 petang tadi juga lebih kurang 400 panggilan diterima dan dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

"Melihatkan keadaan ini, MKN merasakan terdapat keperluan untuk menambah lebih banyak talian dan alhamdulillah, terdapat syarikat pengendali perkhidmatan telekomunikasi tempatan yang tampil untuk membantu kita dengan menyediakan sebanyak 50 talian tambahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui satu Perutusan Khas kelmarin mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan itu meliputi enam perkara termasuk penutupan sekolah, premis swasta, institusi pengajian tinggi (IPT), sementara perkhidmatan-perkhidmatan penting serta pasar awam, pasaraya, kedai runcit dan kedai serbaneka akan tetap dibuka kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Menurut sumber itu lagi, tambahan 50 talian itu dijangka akan mula beroperasi selewat-lewatnya esok dan berharap dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada orang awam untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan.

Ketika ditanya apa soalan yang kerap diajukan kepada MKN menerusi talian hotline dalam tempoh dua hari ini, sumber itu memaklumkan kebanyakannya berkaitan urusan imigresen, sama ada boleh meneruskan operasi perniagaan dan termasuk aduan berhubung kilang tertentu yang terus beroperasi dan tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

"Setakat ini, kesemua persoalan diajukan dijawab sebaik mungkin oleh MKN mengikut prosedur dan ada aduan yang diterima kita nasihatkan untuk mereka buat laporan polis mengikut Akta Polis 1967," katanya.