Kes amang seksual Naim Daniel disebut semula 19 September

PUTRAJAYA – Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel hadir ke Mahkamah Sesyen hari ini bagi penyerahan dokumen berhubung pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, Mei lalu.
Prosiding berkenaan berlangsung di hadapan Hakim Datin M Kunasundary, namun dijalankan secara tertutup.
Peguamnya, Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique ketika ditemui media berkata, perbicaraan hari ini hanya membabitkan sebutan serahan dokumen daripada pihak pendakwaan kepada pembelaan.
“Pada hari ini telah ditetapkan untuk sebutan serahan dokumen di mana pihak pembelaan telah menerima dokumen daripada pihak pendakwaan.
“Tarikh seterusnya telah ditetapkan pada 19 September untuk sebutan pengurusan. Jadi pada pengurusan kes itu kami akan lihat sekiranya ada pertambahan dokumen yang akan diserahkan oleh pihak pendakwaan, jika ada,” katanya.

Selain Nur Syafiah, Naim turut diwakili peguam, Datuk Amirul Ridzuan Hanif dan Mohd Irwan Sumadi.
Terdahulu, pada prosiding pertama, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, pelatun lagu Sumpah itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun tujuh bulan, di sebuah hotel pada jam 8.56 malam, 19 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan yang dikemukakan.
Naim, yang turut dikenali menerusi drama Projek: High Council, kini menunggu tarikh pengurusan kes seterusnya pada 19 September depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

