Kes Amang Seksual: Naim Daniel tiba awal di mahkamah

PUTRAJAYA - Penyanyi Naim Daniel dipercayai tiba lebih awal di Mahkamah Sesyen di sini iaitu kira-kira jam 7 pagi, mendahului kehadiran pengamal media.
Pengamal media yang menunggu sejak jam 7.30 pagi tidak melihat kelibat Naim sebelum dimaklumkan selebriti berusia 27 tahun itu sudah tiba lebih awal.
Naim hari ini hadir bagi prosiding kedua berkaitan satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun pada Mei lalu.
Pada prosiding terdahulu, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, penyanyi lagu popular itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja berusia 17 tahun tujuh bulan bagi tujuan seksual di sebuah hotel pada jam 8.56 malam, 19 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Ia termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Pelakon drama Projek: High Council itu diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Perubahan dibuat:
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

