Derita anak dibuli: Patah tulang, trauma jiwa

KAJANG - Patah tulang selangka merupakan kemuncak kejadian buli dialami seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di sebuah sekolah rendah agama di sini.
Ibu murid berkenaan yang dikenali sebagai Nina (bukan nama sebenar), 45, berkata, kejadian berlaku pada April lalu meninggalkan kesan mendalam terhadap anaknya.
Menceritakan kejadian, Nina berkata, insiden berlaku selepas solat Asar di surau sekolah apabila beberapa murid menarik tikar sejadah hingga anaknya terjatuh.
Menurutnya, ini bukan kali pertama anaknya dibuli kerana sebelum ini baju sekolah anaknya pernah dikotorkan dengan dakwat pen dan sering menjadi sasaran ejekan.
“Tapi insiden sehingga patah tulang selangka ini terlalu serius. Saya buat laporan polis dan pegawai penyiasat datang ke sekolah, ambil keterangan guru besar, guru kelas, beberapa saksi dan ibu bapa,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Nina, kesan daripada insiden tersebut, anak ketiga daripada lima beradik itu kini berubah sikap, tidak lagi ceria dan sering menangis setiap kali mahu ke sekolah.
“Anak saya jadi pendiam, resah, seolah-olah takut bayangan kejadian berulang. Kalau dahulu dia sangat aktif dan suka ke sekolah, sekarang dia murung dan hilang keyakinan diri,” katanya.
Nina sehubungan itu berkata, dia kini mempertimbangkan tindakan undang-undang dengan memfailkan saman sivil terhadap guru kelas, pihak sekolah dan ibu bapa murid terbabit atas faktor kecuaian.
“Namun atas dasar kemanusiaan, saya masih tunggu dan beri peluang untuk sekolah maklumkan tindakan yang diambil terhadap pembuli,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

