Mangsa buli terus trauma, pelaku lupa

Walaupun pelaku mungkin terlupa tindakan mereka atau menganggapnya sekadar gurauan semata-mata, namun mangsa tidak akan melupakannya. Foto hiasan
Walaupun pelaku mungkin terlupa tindakan mereka atau menganggapnya sekadar gurauan semata-mata, namun mangsa tidak akan melupakannya. Foto hiasan
A
A
A

PENGALAMAN pahit seperti yang dikongsi Hajar Johari,28, yang mengalami buli pada tahun pertama menengah hingga menyebabkan dirinya masih dihantui trauma meskipun 20 tahun berlalu, membuktikan buli bukan perkara kecil.

Setiap malam dilalui dalam ketakutan, manakala waktu pagi dibangunkan dengan rasa ingin lari dari dunia kesan emosi mendalam yang kekal dilaluinya hingga dewasa.

Kes buli yang melibatkan pelajar diikat tangan dan kaki di tandas sekolah, diikuti kejadian pelajar lelaki ditumbuk sehingga cedera dan banyak lagi kes lain, mengingatkan kita bahawa buli bukan sekadar lisan atau fizikal.

Ia menyentuh batas, mendatangkan trauma sebenar dan menjadi jenayah yang harus dihadapi tindakan tegas.

Ada pelaku dikenakan hukuman, namun mungkin ada yang terlepas dari tindakan disebabkan mangsa takut untuk bersuara tentang kejadian buli menimpa mereka.

Walaupun pelaku mungkin terlupa tindakan mereka atau menganggapnya sekadar gurauan semata-mata, namun mangsa tidak akan melupakannya.

Ada mangsa buli yang tumbuh dengan luka psikologi, keyakinan diri hancur, malah mungkin membawa trauma ke alam dewasa.

Dalam dunia digital pula, buli siber menghasilkan penderitaan yang tidak kurang menyakitkan apabila aib tersebar, mesej menghina berulang hari demi hari ia menjadi sarang penindasan tanpa sempadan.

Media sosial yang sepatutnya ruang berkongsi positif, berubah menjadi medan menyudutkan, menjadikan mangsa sukar lari dari gangguan.

Artikel Berkaitan:

Buli tidak lagi boleh dibiarkan sebagai jenayah ringan, sebaliknya perlu dilihat serius seperti fizikal, seksual, siber, atau elemen tekanan mental agar pelaku rasa keperluan tanggungjawab atas tindakan mereka.

Kerajaan dilihat peka dengan isu terbabit dan kini sedang menyelaras pelaksanaan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan bagi memastikan semua pihak memahami bahawa buli adalah satu jenayah.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, hentikan buli tidak kira di sekolah, tempat kerja mahupun media sosial.

Dari perspektif mangsa yang trauma berterusan hingga pelaku yang mungkin melupakan apa yang pernah dilakukan, kita perlu jadikan semua bentuk buli terus menjadi isu nasional.

Wujudkan sistem sokongan, hukuman dan kaedah pencegahan agar tiada lagi malam-malam ketakutan dan mimpi ngeri melanda mangsa seterusnya, dan lebih membimbangkan berlakunya kecederaan ataupun kehilangan nyawa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!