Agih 100 aiskrim percuma sempena hari lahir anak

SHAH ALAM - Sebuah keluarga memilih pendekatan berbeza meraikan sambutan ulang tahun kelahiran anak sulung mereka dengan mengagihkan 100 aiskrim percuma kepada orang ramai di sebuah taman di Johor Bahru.
Menerusi perkongsian video pengguna TikTok @3llyss4_ atau nama sebenar Ellyssa, 27, rata-rata pengunjung di taman tersebut teruja menerima aiskrim berkenaan, malah ada yang turut menyanyikan lagu selamat hari jadi kepada anaknya, Luth Mateen.
Ellyssa berkata, ia merupakan kali pertama dia menggunakan cara tersebut untuk menyambut ulang tahun kelahiran anaknya yang berusia tiga tahun.
“Sebelum ini sambutan hanya dibuat secara sederhana di rumah bersama keluarga kecil kami.
“Alhamdulillah, anak saya sangat gembira. Walaupun masih kecil, saya yakin dia benar-benar rasa dihargai,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut Ellyssa yang juga seorang suri rumah, idea sambutan ulang tahun itu tercetus apabila anaknya teruja melihat sambutan hari jadi yang dianjurkan keluarga lain.
“Dari situ saya mahu tanam dalam dirinya bahawa hari lahir bukan hanya tentang kita diraikan, menerima ucapan atau hadiah, tetapi tentang bagaimana kita boleh memberi.
“Sebab dalam memberi itu ada rasa syukur, ada rezeki yang dikongsi, dan ada doa-doa baik yang hadir tanpa diminta. Itulah hadiah paling mahal yang tak mampu dibeli,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

