NGO dakwa diganggu ketika kempen advokasi

Tangkap layar video yang tular di media sosial memaparkan salah seorang ahli sukarelawan didakwa diganggu oleh sekumpulan individu tidak dikenali pada 6 Ogos lalu.
Tangkap layar video yang tular di media sosial memaparkan salah seorang ahli sukarelawan didakwa diganggu oleh sekumpulan individu tidak dikenali pada 6 Ogos lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tular satu video mengenai tindakan sekumpulan individu yang merampas bahan advokasi yang digunakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur baru-baru ini menimbulkan tanda tanya.

NGO tersebut yang dikenali sebagai Pertubuhan Tuidang Malaysia merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar secara sah dan menjalankan aktiviti advokasi kepada rakyat di negara ini mengenai ancaman ideologi komunisme.

Menurut seorang aktivis masyarakat, Jane Teo, berdasarkan satu video yang diberikan kepada beliau jelas menunjukkan terdapat intimidasi dilakukan kepada sukarelawan NGO tersebut dan dilihat sebagai cubaan untuk menghentikan advokasi mengenai bahaya komunisme.

Jane
Jane

Jelas Jane, kejadian itu telah dimaklumkan kepadanya oleh salah seorang daripada sukarelawan NGO tersebut baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan oleh pihak NGO ini dan turut memberikan laporan berbentuk video yang menunjukkan bahan-bahan edaran milik sekumpulan sukarelawan telah dirampas secara paksa oleh individu dari dua buah van.

“Malah, video sukarelawan ini diganggu oleh sekumpulan individu berpakaian hitam juga telah tular di media sosial.

“Saya juga diberitahu, van-van ini dilihat berulang kali kembali ke lokasi yang sama, seolah-olah sengaja ingin menunjukkan intimidasi,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, menerusi video berkenaan, ia jelas menunjukkan tindakan kumpulan itu merupakan satu taktik dan mereka merancang untuk menakut-nakutkan para sukarelawan yang bertugas.

“Mereka menggunakan cara ganas dan invasif, dengan niat yang jelas untuk menghalang para sukarelawan daripada melaksanakan hak mereka untuk menyebarkan kesedaran tentang bahaya ideologi komunisme.

“Tindakan ugutan ini bukan sahaja bertujuan untuk menghentikan aktiviti mereka, tetapi juga secara langsung menyekat hak NGO ini sebagai warganegara untuk bersuara dan menyertai aktiviti kemasyarakatan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan dan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh serta mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap perbuatan berkenaan.

“Siasatan menyeluruh perlu dijalankan dan pihak yang bertanggungjawab, terutamanya mereka yang terlibat dalam mengancam orang awam atau merampas harta benda peribadi, mesti didakwa di bawah undang-undang sedia ada.

“Mesej yang jelas mesti dihantar bahawa sebarang tindakan yang melanggar undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam tidak akan diterima sama sekali.

“Pendirian yang sangat tegas ini adalah perlu. Keamanan dan kedaulatan yang kita nikmati hari ini telah dibina dengan susah payah oleh pengorbanan nyawa dan usaha generasi nenek moyang kita,” menurutnya.

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan pertubuhan itu telah membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!