[VIDEO] Malaysia #QuranHour wadah kempen antibuli
KOTA BHARU – Malaysia #QuranHour 2025 yang bakal berlangsung pada 30 Ogos ini bukan sahaja mengangkat al-Quran sebagai panduan ummah, malah menjadi wadah kempen antibuli seiring dengan hasrat Pusat Pengajian Islam Tok Kenali di Kubang Kerian, di sini.
Pengerusi Pusat Pengajian Islam Tok Kenali, Muhammad Hafiz Hukmi Wardi berkata, penglibatan kali ketiga institusi itu dalam Malaysia #QuranHour bukan sekadar simbolik, sebaliknya menyokong penuh tema tahun ini iaitu ‘Merdeka Dengan Rasa’ yang menekankan nilai empati dan keadilan sosial.
“Pengisian yang dibawa dalam Malaysia #QuranHour kali ini ada menyentuh isu buli dan kami di pusat pengajian sangat mengambil serius perkara tersebut.
“Kami juga meminta ibu bapa pelajar untuk bersama-sama pihak sekolah membanteras buli secara serius,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui dalam Jelajah Kempen Malaysia #QuranHour 2025 oleh wakil Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) di Pusat Pengajian Islam Tok Kenali, Kubang Kerian pada Ahad.

Muhammad Hafiz Hukmi berkata, penyertaan pelajar daripada empat institusi di bawah Tok Kenali iaitu Sekolah Rendah Islam Tok Kenali, Pondok Tok Kenali Lilbanin, Madrasah Tahfiz Tok Kenali Lilbanat dan Tadika Pintar al-Kelantan menjadi bukti komitmen mereka terhadap usaha menjadikan Malaysia #QuranHour sebagai wahana membentuk masyarakat bebas buli.
Jelasnya, pendekatan tegas dengan kerjasama ibu bapa dalam isu membanteras buli amat penting kerana pihaknya mahu pondok berkenaan benar-benar menjadi pusat ilmu yang aman tanpa isu ejekan atau penderaan sesama pelajar.
“Jika berlaku buli dan dinasihati beberapa kali tetapi masih mengulangi perbuatan, kami akan memanggil ibu bapa untuk dijadikan pengajaran kepada pelajar lain, selain tidak teragak-agak membawa kes kepada pihak berkuasa.
“Kami tidak akan menghukum sehingga mencederakan pelajar, tetapi akan menggunakan pendekatan bersesuaian supaya matlamat menghentikan perbuatan itu dapat dicapai,” katanya.

Malaysia #QuranHour edisi ke-11 akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini dengan lokasi utama di Masjid Negara, Kuala Lumpur manakala venue utama di Kelantan akan diadakan di Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian.
Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu menampilkan bacaan Surah Al-Saff, Al-Balad dan Ali Imran dengan mesej mendidik masyarakat agar lebih berdisiplin, berempati dan berpaksikan ALLAH.
Program ini berhasrat melahirkan pemimpin berempati seperti “Saidina Umar moden” yang bukan sahaja merasai penderitaan masyarakat, malah turut membela mereka dengan kasih sayang.
Pusat Pengajian Islam Tok Kenali pula mengangkat semangat itu melalui pembabitan lebih 200 pelajar dan 26 tenaga pengajar, menjadikan Malaysia #QuranHour kali ini sebagai titik tolak kepada kempen buli sifar di peringkat pondok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

