Kerajaan didesak bertindak isu jualan Jalur Gemilang palsu

Mohamad Shafiq.
Mohamad Shafiq.
A
A
A

HULU LANGAT – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bagi mengekang penjualan Jalur Gemilang palsu yang semakin berleluasa di platform e-dagang, terutama menjelang sambutan Bulan Kemerdekaan.

Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, kebanyakan bendera yang dijual menerusi platform dalam talian dibekalkan dari luar negara, khususnya China dan Thailand, namun terdapat kes apabila reka bentuk bendera yang diterima tidak menepati bentuk rasmi.

Ujarnya, keadaan itu bukan sahaja mendedahkan pembeli kepada risiko tindakan undang-undang walaupun mereka bukan pihak yang mencetak, malah turut menimbulkan persepsi negatif terhadap lambang negara.

“Kerajaan wajar bekerjasama dengan semua platform e-dagang untuk menapis pembekal serta pengeluar, sama ada tempatan atau antarabangsa, bagi memastikan hanya Jalur Gemilang dan Jata Negara yang mematuhi reka bentuk rasmi dibenarkan dijual.

“Selain itu, kerajaan perlu mewajibkan platform e-dagang memastikan setiap pembekal, pengeluar atau penjual memaparkan imej produk sebenar bagi membolehkan pengguna membuat pengesahan sebelum pembelian,” ujarnya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau turut mencadangkan agar Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperketatkan penguatkuasaan terhadap produk yang menggunakan Jalur Gemilang dan Jata Negara, termasuk melaksanakan sitaan ke atas barangan yang menyalahi reka bentuk rasmi.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan produk tidak sah terlepas ke tangan pengguna sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah mereka tidak menghormati simbol negara.

“Individu yang dengan sengaja menterbalikkan, menghina atau tidak menghormati bendera serta Jata Negara juga hendaklah disiasat dan dikenakan tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!