KKM batal notifikasi dua produk kosmetik beracun

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi dua produk kosmetik selepas dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.
KKM dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan produk terbabit ialah JC Beauty Culture Radiance Renewal Serum yang mengandungi hidrokuinon dan tretinoin, serta The Perfect Derma Cream yang mengandungi miconazole.
"Susulan itu, notifikasi produk kosmetik berkenaan dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, KKM,” menurut kenyataan itu.
Kosmetik mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan miconazole dikategorikan sebagai ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah serta hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan kerana penggunaannya tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan sampingan serius.
Menurut KKM, hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan, ketidakselesaan, perubahan warna kulit dan kulit hipersensitif, manakala tretinoin pula menyebabkan kulit menjadi kemerahan, pedih, mengelupas serta lebih sensitif terhadap cahaya matahari.
"Miconazole yang digunakan tanpa kawalan boleh meningkatkan risiko kerintangan sekali gus mengurangkan keberkesanan rawatan jangkitan pada masa depan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, KKM turut mengesan satu produk tradisional berdaftar, Chang-Sze-Long Badu Gao (tampalan), mengandungi paras merkuri melebihi had dibenarkan.
Pendedahan merkuri berlebihan boleh merosakkan buah pinggang dan sistem saraf, menjejaskan perkembangan otak kanak-kanak termasuk janin, selain menyebabkan masalah kulit seperti ruam, iritasi dan perubahan warna.
Produk itu sudah ditarik balik daripada pasaran dan pendaftarannya dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual atau diedarkan di Malaysia.
"Orang awam yang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami kesan sampingan,” menurut KKM.
Justeru, penjual dan pengedar produk terbabit diarah menghentikan penjualan serta-merta kerana melanggar Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
