Warga emas maut tertembak, polis sahkan tiada unsur jenayah

IPOH - Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian seorang lelaki warga emas yang ditemui mati dengan kesan tembakan di dada di kediamannya di Lorong Jelapang 13, Jelapang pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 75 tahun itu tertembak diri sendiri menggunakan senapang patah.
Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 11.35 pagi dan pasukan siasatan yang tiba mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri dalam keadaan terbaring di atas kerusi kayu di luar rumah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 12 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan awal di lokasi mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa yang menghidap kanser kolon tahap empat tinggal bersama isteri, anak sulung, menantu dan seorang cucu, namun tiada ahli keluarga berada di rumah ketika kejadian berlaku.
Katanya, siasatan turut mendapati mangsa memiliki senjata api jenis Baretta D81735B sejak 30 tahun lalu dan lesen berkenaan baru sahaja diperbaharui Mei lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk proses bedah siasat dan polis turut mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk ahli keluarga bagi membantu siasatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

