KDEBWM kesal video lama bendera terbalik tular semula

SHAH ALAM – KDEB Waste Management (KDEBWM) kesal terhadap tindakan pihak tertentu menularkan semula rakaman video lama melibatkan insiden Jalur Gemilang kelihatan terbalik pada lori milik syarikat itu.
Menurut syarikat berkenaan, kejadian tersebut sebenarnya berlaku lebih lima tahun lalu iaitu pada 24 Ogos 2020 di Rawang, dan sudah selesai sepenuhnya selepas siasatan pihak berkuasa.
Malah, KDEBWM turut memaklumkan pihaknya juga telah membuat permohonan maaf secara terbuka ketika itu.
Dalam kejadian tersebut, pengadu dilaporkan menarik balik laporan yang dibuat selepas disahkan tiada unsur niat menghina bendera negara.
Siasatan turut mendapati bendera pada asalnya dipasang dengan betul, namun berubah kedudukan kerana dilipat dua dan ikatannya terbuka ketika lori bergerak.
“Seorang saksi awam juga tampil secara sukarela membuat laporan polis mengesahkan perkara itu,” jelas kenyataan syarikat berkenaan pada Sabtu.
Sebagai bukti bahawa rakaman itu adalah kejadian lama, KDEBWM menjelaskan warna uniform rasmi krew kutipan dan lori syarikat kini adalah merah dan kuning, berbeza dengan imej biru yang kelihatan dalam video berkenaan.
KDEBWM menegaskan perbuatan menularkan semula insiden itu adalah tindakan mengelirukan orang ramai selain memfitnah syarikat serta krew yang sebelum ini telah disahkan tidak bersalah.
“Kami dengan tegas memohon kerjasama semua pihak supaya berhenti menyebarkan video atau gambar lama berkaitan insiden ini. Individu atau pengendali laman media sosial yang telah memuat naik kandungan tersebut diminta menurunkannya dengan kadar segera,” kata kenyataan itu lagi.
KDEBWM turut menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil menyebarkan kandungan tersebut selepas kenyataan rasmi ini dikeluarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

