Tiada mayat, bahan kimia berbahaya dikesan dalam 'kapal hantu'

KEMAMAN – Pemeriksaan ke atas sebuah kapal tanpa krew atau 'kapal hantu' seberat 292.9 tan dengan kesan terbakar yang hanyut di perairan Terengganu tidak menemukan mayat atau bahan kimia berbahaya di dalam kapal tersebut.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, pemeriksaan keselamatan dilakukan secara menyeluruh dengan kerjasama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, JBPM Pahang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Jumaat.
Menurutnya, pasukan pemeriksa terdiri daripada 17 anggota bomba, tiga pegawai JLM mengambil masa kira-kira sejam, bermula jam 3.30 petang hingga 4.30 petang untuk menjalankan pemeriksaan terperinci.
"Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) menggunakam dua alat bagi mengesan bahan kimia berbahaya iaitu menggunakan 'four gas meter' dan 'gasmet' bagi memastikan tiada kebocoran atau kehadiran gas berbahaya di dalam kapal.
"Pada mulanya kita mengesan terdapat bau kurang menyenangkan dalam kapal itu, namun setelah diperiksa ia datang daripada bahan mentah yang telah rosak di dalam peti sejuk kapal disebabkan ketiadaan bekalan elektrik dalam tempoh lama.
"Pemeriksaan menyeluruh ke atas kapal itu tidak menemukan sebarang bahan kimia berbahaya atau mayat kru kapal," katanya pada sidang akhbar di Zon Maritim Kemaman di sini pada Jumaat.
Jelas beliau, kapal berkenaan akan diserahkan kepada pihak JLM bagi mengesan pemiliknya melalui notis yang akan dikeluarkan.
"Jika dalam tempoh ditetapkan tiada tuntutan dibuat, kapal ini akan melalui proses pelupusan mengikut prosedur.
"Pihak Maritim juga akan terus melakukan rondaan berkala di kawasan kapal tersebut berlabuh bagi mengelakkan kecurian atau pencerobohan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan 'kapal hantu' yang dikesan hanyut di kawasan Pelantar Semangkok A, di Perairan Terengganu pada Selasa, tiba di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), di sini, selepas ditunda sejauh 140 batu nautika selama lebih dua hari.
Kapal tanpa kru itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden kapal tangki terbakar di pada kedudukan 36 batu nautika Tanjung Sedili Kecil, Johor pada 6 Ogos lalu.
Dalam kejadian itu, seorang kru kapal warga Indonesia maut manakala empat lagi cedera akibat kebakaran tangki kapal berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
