[VIDEO] 'Kapal hantu' ditunda ke KSB jalani pemeriksaan keselamatan

KEMAMAN – 'Kapal hantu' yang hanyut di kawasan Pelantar Semangkok A, Terengganu sejak 12 Ogos lalu selamat ditunda masuk ke Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) pagi Jumaat dan kini menjalani pemeriksaan keselamatan rapi sebelum siasatan penuh dijalankan.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, kapal berkenaan tiba di KSB jam 11.30 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh hampir 140 batu nautika, pada kelajuan purata kapal sekitar 3.5 knot selama lebih dua hari.
Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas kapal berkenaan membabitkan 12 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diikuti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Maritim Malaysia.
"Kapal ini terlebih dahulu akan dipastikan berada dalam keadaan selamat serta bebas risiko sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
"Pemeriksaan turut merangkumi pengesahan sama ada terdapat mangsa di atas kapal, seperti yang dilaporkan sebelum ini.
"Kapal ini berisiko tinggi mengancam keselamatan pelantar minyak dan laluan perkapalan serta boleh mencetuskan bencana besar jika dibiarkan hanyut terus di laut," katanya pada sidang akhbar di Zon Maritim Kemaman di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, kejayaan menunda kapal ini ke sini merupakan hasil kerjasama semua pihak melibatkan 62 anggota pelbagai agensi keselamatan dan industri minyak dan gas.
Jelas beliau, operasi menunda kapal ini diselaraskan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan bersama JLM Wilayah Timur, Petronas dan beberapa syarikat swasta.
"Helikopter Dauphin AS 365 N3 digunakan untuk pemantauan udara, manakala Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia diterbangkan dari Kerteh ke Platform Larut menggunakan pesawat Westar Helicopter AW139 sebelum dipindahkan ke kapal MV Aishah AIMS 1 untuk menaiki kapal hantu.
"Pasukan berkenaan berjaya memasang tali tunda yang kemudiannya diserahkan kepada kapal penyelamat MV JM Purnama bagi perjalanan sejauh 140 batu nautika," katanya.
Beliau menjelaskan, kejadian ini dipercayai ada kaitan dengan insiden kapal tangki terbakar di perairan Tanjung Sedili pada 6 Ogos lalu namun identiti kapal masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
