Pertumbuhan ekonomi suku kedua 2025 kekal 4.4 peratus

Amir Hamzah Azizan
Amir Hamzah Azizan
A
A
A

SHAH ALAM - Pertumbuhan ekonomi negara kekal pada kadar 4.4 peratus pada suku kedua 2025 (S2 2025), sekali gus meletakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi separuh pertama 2025 pada kadar sama.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia menepati ambang unjuran rasmi empat peratus hingga 4.8 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh walaupun dalam ketidaktentuan perdagangan global dan geopolitik dunia.

"Permintaan domestik meningkat tujuh peratus pada S2 2025, mengatasi pertumbuhan enam peratus yang dicatat pada suku sebelumnya.

"Peningkatan ini dipacu oleh perbelanjaan isi rumah yang rancak, pasaran buruh kukuh, inflasi mendatar serta pelaburan sektor swasta yang memberangsangkan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu beliau juga menjelaskan, pertumbuhan S2 2025 turut disokong oleh prestasi berdaya tahan sektor perkhidmatan dengan 5.1 peratus dan pembuatan (3.7 peratus) dalam penawaran.

Menurutnya, sektor perkhidmatan menerima limpahan daripada peningkatan perbelanjaan pengguna dan aktiviti pelancongan yang rancak, manakala pertumbuhan sektor pembuatan terus disokong oleh pengembangan berterusan dalam industri berorientasikan eksport dan domestik.

"Meskipun ekonomi global berdepan dengan ketidaktentuan, prestasi Malaysia pada separuh pertama 2025 membuktikan dasar-dasar di bawah kerangka Ekonomi Madani sedang membuahkan hasil untuk negara dan rakyat.

"Kadar pengangguran susut kepada tiga peratus berbanding 3.1 peratus pada suku sebelumnya, manakala inflasi keseluruhan menyederhana kepada 1.3 peratus berbanding 1.5 peratus.

"Pengukuhan ringgit sebanyak 5.3 peratus berbanding dolar AS pada S2 2025 menjadikannya antara mata wang berprestasi terbaik di Asia, seterusnya mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pengurusan ekonomi dan fiskal negara," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Amir Hamzah memaklumkan, kerajaan akan giat memantau potensi impak perkembangan tarif dan kekal menyediakan sokongan bersasar bagi melindungi daya saing serta meminimumkan gangguan perdagangan.

Berpandukan kerangka Ekonomi Madani dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang diumumkan, beliau berkata, Kementerian Kewangan sedang merangka Belanjawan 2026 melalui sesi libat urus komprehensif bersama pihak berkepentingan di pelbagai sektor dan negeri.

"Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan Pra-Belanjawan 2026 baru-baru ini, keutamaan akan diberi kepada pelaksanaan langkah reformasi ekonomi serta struktural bagi memastikan manfaat pertumbuhan dapat dinikmati secara saksama dan mampan oleh rakyat.

"Usaha-usaha ini penting untuk mengukuhkan asas ekonomi serta memastikan Malaysia kekal tangkas dan berdaya tahan dalam persekitaran global yang dinamik," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!