Tak puas hati kereta ditunda, lelaki bakar lori tunda MBJB

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas bertindak membakar sebuah lori tunda milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di dalam depoh simpanan kenderaan, Johor Bahru Waterfront.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.07 pagi, Jumaat, selepas suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana kenderaan miliknya jenis Perodua Axia ditunda pihak MBJB sehari sebelum itu.
“Suspek yang tidak mempunyai wang untuk membayar kompaun telah diminta membuat rayuan namun merasakan proses tersebut menyukarkan dirinya sebelum bertindak di luar batas undang-undang.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek telah menuang minyak petrol dan menyalakan api pada lori tunda MBJB sehingga mengakibatkan kebakaran dengan anggaran kerugian sekitar RM10,000,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan suspek pada hari sama kira-kira jam 1.06 tengah hari dan merampas beberapa barang kes termasuk tong aluminium serta pemetik api.
“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Hasil ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.
“Suspek kini direman selama lima hari hingga Selasa bagi siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.
Raub turut menegaskan tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri merupakan perbuatan serius yang boleh mengancam nyawa, harta benda serta ketenteraman awam.
Sebelum itu, tular satu rakaman CCTV menunjukkan kegiatan khianat seorang lelaki yang menyimbah petrol dan membakar sebuah lori tunda milik MBJB.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

